Dua Penjawat Awam Antara 11 Penagih Di Tahan AADK Keningau

KENINGAU: Dua orang penjawat awam antara yang ditahan oleh pihak penguatkuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Keningau pada Ahad malam.

Ketua Pegawai AADK Keningau Azry Golbin @ Azmi berkata kedua-dua penjawat awam lelaki dan perempuan itu ditahan selepas disyaki positif dadah jenis syabu ketika ujian saringan air kencing dijalankan.

Salah seorang penjawat awam (baju hitam) yang ditahan AADK. Gambar SNT/Ihsan AADK

Suspek lelaki turut dipercayai adalah Orang Kena Pengawasan yang sedang menjalani rawatan dan pemulihan selama tempoh tiga tahun bersama AADK.

“Suspek lelaki akan berhadapan dengan kes pendakwaan yang melibatkan hukuman penjara selama tiga tahun dan tiga sebatan kerana menggunakan semula dadah semasa dalam tempoh pengawasan AADK,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara sembilan suspek yang ditahan pada operasi berkenaan. Gambar SNT/Ihsan AADK

Tambahanya ketika proses saringan dibuat, suspek lelaki tersebut turut membawa air kencing palsu dalam botol yang dikeluarkan daripada poket seluar bagi mengaburi mata penguatkuasa yang bertugas.

Namun, tindakan suspek gagal selepas disedari oleh anggota yang bertugas.

Azry menjelaskan bahawa trend penggunaan dadah di kalangan Penjawat Awam juga semakin menunjukkan peningkatan yang ketara dan sehingga kini pihaknya telah menahan seramai 5 orang golongan ini sejak Januari 2019 yang lepas.

Tambahnya, pihak majikan atau Ketua Jabatan perlu memainkan peranan yang aktif dalam aktiviti pencegahan dadah di premis masing-masing dalam memastikan penularan najis dadah tidak merebak dan mampu disekat di peringkat awal lagi.

Penagih dadah yang ditahan ketika oeprasi dilakukan. Gambar SNT/Ihsan AADK

Hal ini sangat penting dalam menjamin keselamatan dan memastikan kualiti serta produktiviti pekerja tidak terjejas angkara masalah penagihan dalam kalangan kakitangan masing-masing.

Sementara itu, operasi yang dijalankan bermula pada sebelah petang itu telah berjaya menahan seramai 11 orang suspek termasuk kakitangan awam terbabit yang disyaki sebagai penagih dadah di sekitar Sook dan juga di beberapa buah kampung sekitar Keningau.

Operasi yang dilaksanakan oleh AADK berkenaan telah menahan seramai sembilan suspek lelaki dan juga dua suspek wanita.

Semua suspek ditahan di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 kerana disyaki sebagai penagih dadah serta gagal ujian saringan dadah jenis methamphetamine ataupun syabu.

Kesemua 11 suspek yang ditahan berumur lingkungan 19 hingga 40 tahun ketika tangkapan dibuat. –SabahNewsToday

580