‘Bukan ejen perisik Israel’

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman

KEMENTERIAN Dalam Negeri (KDN) mengesahkan ada warga Israel bekerja di jabatan tertentu dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman bagaimanapun menjelaskan, warga Yahudi itu adalah jurutera syarikat yang ditugaskan untuk menyelenggara sistem PDRM.

“Beliau bukan ejen perisik seperti didakwa, sudah tentu ketika pemasangan itu dibuat ada wakil kita di sana untuk melihat,” katanya pada sesi Pertanyaan Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Ahmad Marzuk Shaary (PAS-Pengkalan Chepa) yang mahu penjelasan kononnya ada ejen perisik Israel dalam PDRM.

Terdahulu menjawab soalan asal Ahmad Marzuk yang ingin tahu jumlah kemasukan warga Yahudi itu ke Malaysia menurut kategori tahun dan tujuan, Mohd Aziz berkata, 105 warga Israel diberi kebenaran memasuki Malaysia dari 2016 hingga bulan lalu.

Beliau berkata, pada 2016, seramai 33 warga Israel diberi kebenaran atas pertimbangan perdagangan sedia ada syarikat multinasional (MNC) untuk menghadiri mesyuarat, memberi latihan kepada pekerja Malaysia berkenaan kejuruteraan microcip.

“Pada 2017, 35 warga srael diberi kebenaran yang mana 18 orang memasuki Malaysia atas urusan hubungan perdagangan MNC manakala 17 orang diberikan kebenaran menghadiri persidangan, mesyuarat dan program antarabangsa,” katanya.

Mohd Azis berkata, pada 2018, 34 warganegara itu diberi kebenaran atas urusan perdagangan sedia ada manakala dua orang diberikan untuk menghadiri persidangan antarabangsa.

“Tahun ini, hanya tiga warga Israel diberi kebenaran atas urusan hubungan perdagangan sedia ada dan tiada lagi kebenaran diberikan untuk warga Israel menghadiri persidangan, mesyuarat dan program antarabangsa.

“Ini selaras dengan dasar baru bahawa kerajaan tidak lagi membenarkan wakil Israel untuk memasuki Malaysia bagi menghadiri persidangan, mesyuarat, program anjuran badan antarabangsa,” katanya.

Dalam pada itu katanya, bagi permohonan lawatan keagamaan ke Baitulmaqdis, kementerian meluluskan 7,870 orang untuk berkunjung ke Baitulmaqdis dari 2016 hingga tahun ini. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *