Saksi mengaku terima RM156,000 diagih kepada pengundi

KOTA KINABALU: Seorang ahli Wanita UMNO Kimanis mengaku menerima wang RM156,000 untuk diagihkan kepada pengundi jagaannya supaya memilih calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), pada 9 Mei tahun lalu.

Juniah @ Masniah Umpai, 55, yang dipanggil sebagai saksi perbicaraan Petisyen Pilihan Raya Parlimen Kimanis, di Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, mengaku mengambil wang itu yang dipanggil `sagu hati’ di rumah mentua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Datuk Mohamad Alamin di Kampung Kuala Kimanis, Kimanis pada malam 7 Mei tahun lalu.

Beliau berkata, Mohamad bersama Ketua Wanita UMNO Kimanis, Suraya Ibrahim dan seorang lagi pemimpin dikenali sebagai Datuk Norhaidi memantau pengagihan wang terbabit untuk diserahkan kepada ketua jentera Jalinan Rakyat atau JR di kawasan jagaannya, sebelum diagihkan kepada pengundi.

“Wang `sagu hati’ sebanyak RM200 itu diberikan kepada pengundi dengan menyatakan masing-masing RM100 daripada calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen iaitu Mohamad dan Datuk Seri Anifah Aman,” katanya di sini, hari ini.

Ketika sesi soalan balas oleh peguam Ansari Abdullah yang mewakili Anifah selaku responden pertama yang juga Ahli Parlimen Kimanis, Juniah berkata, wang kertas itu bernilai RM50, RM100 dan RM10.

Selain beliau, beliau berkata, ada tiga orang lagi bersamanya ketika mengambil wang berkenaan di rumah mentua Mohamad iaitu Ketua Daerah Mengundi, Jeno Miajin; Ketua JR, Vianie Mooi dan seorang ahli Pemuda yang juga anak Vianie dengan keempat-empat mereka ada menandatangani baucar.

Ditanya Ansari siapa yang menyerahkan wang itu, Juniah berkata, wang itu diserahkan Mohamad dan Norhaidi sambil memantau proses berkenaan kepada keempat-empat mereka yang hadir di rumah mentua Mohamad di Kampung Kuala Kimanis serta bukan diserah kepada beliau seorang.

Ketika ditanya Ansari kenapa wang itu dikatakan daripada Anifah sedangkan ia bukan diserahkan secara langsung oleh beliau, Juniah berkata, ia berdasarkan pesanan daripada individu yang menyerahkan wang berkenaan kepadanya.

Beliau turut mengakui Anifah tidak pernah menyerahkan apa-apa wang sepanjang PRU-14, namun mendakwa bekas Menteri Luar itu mengarahkan orang bawahannya dan menyebut Suraya selaku Ketua Wanita UMNO Kimanis melakukan perkara itu.

Beliau bagaimanapun mengakui tidak pernah melihat Anifah menyerahkan sendiri wang kepada Suraya, Mohamad atau Norhaidi.

“Mereka bertiga memberitahu duit itu daripada Anifah,” katanya.

Petisyen Pilihan Raya Parlimen Kimanis difailkan calon Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Karim Bujang pada 18 Jun tahun lalu dengan menamakan Anifah sebagai responden pertama, manakala Pegawai Pilihan Rraya Parlimen Kimanis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebagai responden kedua serta ketiga.

Karim diwakili peguam diketuai Frederick Chang Tyn Chi, manakala peguam Faizal Sarbi dan Abdul Fikri Jaafar mewakili SPR. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *