Kepala pun boleh sangkut dalam kon

ANGGOTA bomba berusaha mengeluarkan kon yang melekat pada kepala seorang kanak-kanak di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC). – Foto ihsan bomba

KUALA PENYU: Seorang murid lelaki tahun lima menahan derita setengah jam apabila kepalanya termasuk ke dalam kon di kawasan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), di sini, semalam.

Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Penyu yang menerima panggilan kecemasan daripada pihak sekolah jam 2.26 petang menghantar sebuah jentera bersama lima anggota ke lokasi kejadian kejadian.

Jurucakap BBP Kuala Penyu berkata, sepasukan bomba yang tiba 12 minit kemudian mengambil masa setengah jam mengeluarkan kon di bahagian kepala mangsa.

“Pasukan bomba menggunakan gergaji besi untuk memotong kon dalam usaha mengeluarkan kon yang melekat pada kepala mangsa.

“Kerja-kerja mengeluarkan kon daripada kepala mangsa dilakukan berhati-hati, jika silap boleh mendatangkan kecederaan pada mulut mangsa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, keadaan mangsa baik dan diserahkan kepada ibu bapa mangsa yang turut berada di lokasi kejadian.

Difahamkan, ketika kejadian mangsa sedang menunggu ibu bapanya sambil bermain di pondok di kawasan sekolah yang mana kon itu disimpan di kawasan berkenaan. – Berita Harian

191