Fadil Marsus Antara Ketua Polis Terbaik Di Sabah

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass (tengah) menyaksikan serah terima tugas antara Bekas Ketua Polis Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus (kiri) kepada Pemangku Ketua Polis Tawau, Superitendan Noorazizulkifli Mansor. – Gambar Polis Daerah Tawau

TAWAU: Bekas Ketua Polis Tawau, Asisten Komisioner Fadil Marsus disifatkan sebagai antara Ketua Polis terbaik di Sabah.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, kenaikan pangkat daripada Asisten Komisioner kepada Senior Asisten Komisioner yang disandang Fadil adalah kejayaan cemerlang dirinya mentadbir daerah ini dalam membanteras jenayah. 

“Tahniah atas kenaikan pangkat yang diterima. Ini adalah peralihan pucuk pimpinan di Tawau. Fadil adalah antara Ketua Polis terbaik di Sabah. Saya mewakili kontinjen Sabah berasa bangga dengan kenaikan pangkat beliau. 

“Walaupun saya tahu banyak cabaran di Tawau tetapi bagi saya ia adalah satu peluang. Fadil sudah tinggalkan legasi kecemerlangan di Sabah jadi kepada Pemangku Ketua Polis Tawau teruskan kejayaan tersebut,” katanya dalam sidang media di Bilik Mesyuarat IPD Tawau di sini hari ini.

Sesi bergambar bersama Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass (tengah) selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Tawau dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) IPD Tawau. – Gambar SNT/Nasrawati Syarifuddin

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan serah terima tugas antara Asisten Komisioner Fadil Marsus kepada Superitendan dan Noorazizulkifli Mansor selaku Pemangku Ketua Polis Tawau.

Fadil akan melapor diri pada 11 April ini sebagai Ketua Penolong Pengarah (D7C) Anti Pemerdagangan Orang/Penyeludupan Migran Jabatan Siasatan Jenayah di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman. 

Zaini Jass (tengah) turut menyaksikan serah terima tugas Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep) IPD Tawau antara Nurashidah Ishak (kiri) kepada pemangkunya, Syarmila Abd Latiff. – Gambar Polis Daerah Tawau

Sementara itu, Fadil berkata, bertugas di tanah kelahiran sendiri adalah salah satu cabaran buat dirinya.

“Begitu banyak cabaran bertugas di kampung sendiri. Lebih tiga tahun saya bertugas di Tawau dan Alhamdulillah saya mendapat kerjasama daripada masyarakat Tawau dan warga IPD. 

“Saya memohon ampun dan maaf jika saya dan keluarga ada melakukan kesalahan. Saya juga doakan kesejahteraan masyarakat dan semuanya tidak akan berakhir di sini, teruskan perjuangan,” katanya. – SabahNewsToday

2353