Lelaki terima tujuh jahitan dipukul adik sendiri

GEORGE
GEORGE

KOTA KINABALU: Seorang lelaki cedera di kepala dan menerima tujuh jahitan akibat dipukul menggunakan sebiji bata oleh adik kandungnya sendiri.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintendan George Abd Rakman berkata, kejadian terbabit berlaku kira-kira jam 5 petang Sabtu lepas.

Katanya, sebelum kejadian mangsa yang berumur 51 tahun bertengkar dengan suspek di kawasan luar rumahnya di Kampung Kopungit, di sini.

Menurutnya, suspek berumur 49 tahun itu bertindak memukul abangnya sebelum meninggalkan mangsa dalam keadaan berlumuran darah berdekatan tangga rumah.

“Anak mangsa yang menyedari kejadian itu segera membawa bapanya ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) untuk mendapat rawatan lanjut.

“Suspek berjaya ditangkap kira-kira jam 8.50 malam hari sama dan direman sehingga 10 April ini untuk siasatan lanjut.

“Turut dirampas sebiji bata yang dipercayai digunakan suspek dalam kejadian itu sebagai barang kes,” jelasnya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, suspek didapati mempunyai enam rekod jenayah lampau membabitkan kesalahan jenayah narkotik dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Pihaknya menyiasat kes mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan Seksyen 15 (1)(A) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 kerana kandungan urin suspek dikesan mengandungi dadah. – Utusan Borneo

124