Sudah dua tahun hilang…

MUHD Hanip. FOTO Ihsan Polis

POLIS Kinabatangan masih meneruskan usaha mengesan anggota polis Pasukan Gerakan Am (PGA) yang dilaporkan hilang dalam insiden bot karam, dua tahun lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Asisten Superintendan Azwan Abdul Wahab berkata, walaupun gagal dikesan sehingga kini, namun usaha mencari mangsa masih diteruskan.

Katanya, setakat ini, pihaknya masih belum menerima sebarang petunjuk mahupun laporan berhubung mangsa dan berharap kes berkenaan dapat diselesaikan.

“Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu ataupun lokasi terkini mangsa diminta menghubungi polis dalam kadar segera.

“Sebarang maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan di talian 089-561891 atau Sub Inspektor Abdul Baik Rayuman di talian 016-8000972,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Katanya, kes berkenaan masih dibuka dan diklasifikasikan sebagai kes Orang Hilang (OH).

Terdahulu, dalam kejadian 20 Julai 2017 itu, mangsa Koperal Muhd Hanip @ Musley Nuap @ Taufik, 40, dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bersama dua lagi individu karam di perairan Kampung Tundun Bohangin.

Mayat seorang lagi anggota PGA iaitu Walter Dennis ditemui di kawasan pesisir pantai Kuala Kinabatangan, manakala seorang lagi berjaya diselamatkan.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa sedang dalam tugasan sebelum berlaku insiden bot karam berkenaan. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *