Menteri tak faham kenapa pembangkang Sabah, Sarawak bantah RUU

Datuk Liew Vui Keong

KUALA LUMPUR: Seorang menteri di Jabatan Perdana Menteri tidak faham kenapa ahli Parlimen pembangkang dari Sabah dan Sarawak membantah rang undang-undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2019 yang dibentangkan di Dewan Rakyat hari ini untuk bacaan pertama.

Liew Vui Keong berkata sebelum ini wakil-wakil rakyat Sabah dan Sarawak berkempen untuk memulihkan status kedua-dua negeri sebagai rakan setaraf Tanah Melayu.

“Taklimat kepada ahli Parlimen mengenai pindaan diadakan hari ini tetapi tiada seorang pun ahli Parlimen pembangkang muncul, sedangkan ia boleh dibangkitkan pada taklimat itu,” katanya pada sidang media di Parlimen petang tadi.

Taklimat diadakan di Parlimen pada 1 tengah hari tadi, selepas RUU dibacakan di Dewan Rakyat.

Terdahulu, ahli-ahli Parlimen pembangkang Sabah dan Sarawak berselisih dengan Speaker Mohamad Ariff Md Yusof selepas RUU dibentangkan untuk bacaan pertama.

Mereka berkata ia sepatutnya dibawa ke jawatankuasa pemilih terlebih dahulu, kerana implikasinya meluas dari segi undang-undang dan perundangan yang perlu dipinda.

Pembangkang juga menggesa kerajaan untuk tidak meredahkan RUU itu.

“Kami ambil inisiatif untuk melakukannya tetapi mereka ambil satu langkah ke belakang dan minta jangan lakukannya kerana ia tidak dirundingkan dengan mereka,” kata Liew.

“Itu tidak benar kerana ketua-ketua menteri dan pegawai-pegawai atasan kerajaan negeri ada dalam jawatankuasa,” tambahnya, merujuk kepada jawatankuasa Kabinet mengenai Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Liew juga berkata isu berkaitan MA63 melibatkan usaha jangka panjang.

“Semua perkara ini berterusan,” kata Liew. “Pertemuan dan rundingan masih boleh diteruskan,” katanya.

Sebelum ini, beberapa pemimpin Sabah dan Sarawak meminta kerajaan menunjukkan draf pindaan supaya ia boleh dibincangkan secara menyeluruh di negeri masing-masing. – FMT

178