Anak kerap panggil bapa…

NADIN Junianti (kiri) bersama tiga anak melihat gambar suaminya, Jari Abdullah yang hilang sejak Disember lalu dipercayai diculik. FOTO Arkib NSTP

‘MUDAH-MUDAHAN dia selamat’. Demikian kata Nadin Junianti Najiri, 25, isteri kepada Jari Abdullah, 34, seorang daripada tiga nelayan yang diculik ketika menangkap ikan di perairan Pegasus Reef Kinabatangan, 6 Disember lalu.

Berdasarkan laporan portal berita Mindanews, jurucakap Western Mindanao Command, Lt Col Gerry Besana dipetik berkata, mangsa yang cedera akibat terkena tembakan ketika cuba melarikan diri daripada tahanan kumpulan penculik berada dalam keadaan kritikal ketika ditemui pasukan penyelamat Filipina jam 4.25 petang semalam.

Menurut portal itu juga, mangsa dipercayai cuba melarikan diri daripada kumpulan penculik dalam pertempuran dengan pasukan tentera di Pulau Simusa, Barangan Bahkaan, Baguingui, Sulu.

Nadin berkata, dia cuma mendapat tahu mengenai berita apabila dihubungi wartawan dan berharap suaminya akan sembuh serta pulang ke pangkuan keluarga.

Katanya, sejak beberapa hari lalu, anaknya yang berusia setahun kerap memanggil bapanya apabila keluar rumah seolah-olah mengetahui ada perkara yang bakal berlaku ke atas suaminya.

“Kami tidak pernah mendapat berita mengenai mereka (tiga nelayan yang diculik). Sejak tiga hari lalu anak bongsu saya selalu panggil ‘bapa oh bapa’, sedangkan sebelum ini tidak pernah panggil (sejak suami diculik).

“Besar harapan kami supaya dia (Jari) selamat, dihantar pulang (ke Sabah) supaya kami boleh berkumpul semula,” katanya.

Selain Jari, dua lagi nelayan yang hilang adalah warga Indonesia, Hariadin, 45, dan Heri Ardiansyah, 19.

Sementara itu, Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya belum menerima sebarang maklumat mengenai kejadian itu, namun akan berhubung dengan pasukan keselamatan di Filipina untuk tindakan lanjut. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *