Suspek curi komponen pencawang ditahan

SEKADAR GAMBAR HIASAN

LIMA lelaki yang dipercayai aktif mencuri komponen pencawang telekomunikasi di Tuaran, ditahan polis dalam serbuan di Kampung Mengauwon, Topokon, di Tuaran, kelmarin.

Semua suspek berusia antara 33 hingga 36 tahun itu ditahan 9.30 pagi, hasil maklumat awam.

Ketua Polis Daerah Tuaran, Deputi Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, tangkapan dilakukan berdasarkan aduan daripada pekerja stesen pencawang Digi daerah Tuaran yang melaporkan kehilangan komponen dianggarkan bernilai RM19,000, 28 Mac lalu.

“Hasil maklumat itu, polis menahan lima suspek dan menemui sejumlah komponen bahan tembaga yang dipotong bagi tujuan untuk dijual.

“Polis turut merampas 23 unit pemutus fius, satu unit fius kilat, enam kepingan jenis tembaga, satu lampu suluh serta satu beg sandang,” katanya di sini, hari ini.

Dzulbaharin berkata, siasatan awal mendapati hasil komponen daripada bahan tembaga yang dicuri suspek biasanya akan dijual di kedai besi buruk untuk mendapat keuntungan dengan cara mudah.

“Pemeriksaan juga mendapati dua daripada lima suspek yang ditangkap mempunyai rekod lampau dalam kes penyalahgunaan dadah.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagi kesalahan mencuri harta benda,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *