Slot Pendakian Gunung Kinabalu, nama Pendaki Tidak Boleh Ditukar Jika Sudah Ditempah

Dr Jamili Nais. Gambar SNT/Ihsan FB Dr Jamili Nais

KUNDASANG: Taman-taman Sabah (TTS) tidak lagi membenarkan penukaran nama pendaki Gunung Kinabalu bagi slot yang sudah ditempah.

Pengarah Taman-taman Sabah (TTS), Dr Jamili Nais berkata ia mengelakkan daripada penipuan yang dilakukan oleh ramai ejen atau orang tengah.

“Sebelum ini, penama-penama yang sudah didaftarkan untuk mendaki boleh ditukar apabila nama pendaki asal menarik diri.

“Perara ini membolehkan penipuan berlaku. Oleh itu, sekarang ini kita menetapkan jika penama berdaftar ini berniat untuk menarik diri pada tarikh pendakian, dia hanya boleh menukar tarikh tersebut dan bukannya menukar nama.

“Pihak kami memutuskan sistem seumpama ini dikuatkuasakan serta merta pada tahun ini,” katanya kepada pemberita pada Majlis Makan Malam Pengarah TTS Bersama Media di Taman Kinabalu, pada Ahad.

Sementara itu, Pengurus Kanan TTS, Yassin Miki menjelaskan bahawa sebelum ini, ejen-ejen akan membeli slot dengan menggunakan nama individu lain untuk mendapatkan slot dan dijual semua.

Katanya ejen-ejen tersebut akan menjual slot pendakian kepada orang ramai dan menukar nama kepada pendaki sebenar.

“Ini menyebabkan pertindihan nama atau berlakunya kerumitan pengurusan kepada pendaki yang terjejas semasa pendakian,” katanya ketika ditanya sebelum pelepasan Pendakian Bersama Rakan Media Sempena Pembukaan Hostel Panalaban, Gunung Kinabalu 2019, Timpohon Gate, pada Isnin. –SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *