Mendiang Tien Fatt selamat dikebumikan

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong (kiri) dan Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Jaujan Sambakong memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt di Dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua di Sandakan.

SANDAKAN: Mendiang Datuk Stephen Wong Tien Fatt selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Kristian di Jalan Cheng Ho, Batu 12, dekat sini, kira-kira jam 1 tengah hari tadi.

Selain ahli keluarga, upacara pengebumian Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat negeri itu turut dihadiri Timbalan Pengerusi DAP Sabah, Datuk Frankie Poon Ming Fung, serta Pembantu Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Jannie Lasimbang.

Terdahulu, lebih 1,000 orang menghadiri upacara memberi penghormatan terakhir kepada Ahli Parlimen Sandakan itu di dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tiong Hua, di sini, pagi tadi.

Upacara penghormatan bermula jam 7.30 pagi dengan ucapan eulogi oleh dua anak mendiang, disusuli Penasihat DAP, Lim Kit Siang; Ming Fung; serta Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Norazlinah Arif.

Ketika menyampaikan eulogi, Kit Siang berkata, mendiang mendedikasikan sepanjang hidupnya untuk kebaikan rakyat Sabah tanpa mengira latar belakang agama dan bangsa.

“Beliau adalah inspirasi yang harus kita hormati dan sentiasa kenang dedikasinya dalam memenuhi impian Malaysia,” katanya.

Ming Fung pula berkata, mendiang adalah seorang yang memiliki misi dan visi dalam mencari penyelesaian masalah dihadapi rakyat Sabah, terutama berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri mewakili Perdana Menteri dan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Liew Vui Keong, serta Timbalan Ketua Menteri yang mewakili Ketua Menteri, Datuk Jaujan Sambakong, turut menghadiri acara itu.

Tien Fatt, 65, yang juga Pengerusi DAP Sabah, meninggal dunia pada Khamis lalu akibat serangan jantung ketika menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (QEH), Kota Kinabalu. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *