Kira-kira RM2.5 bilion untuk baik pulih 587 sekolah daif di Sabah

Gambar fail

KOTA KINABALU, 1 April – Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob berkata kira-kira RM2.5 bilion diperlukan untuk membaik pulih 587 sekolah daif di seluruh negeri ini.

Beliau berkata kebanyakan sekolah berkenaan adalah sekolah rendah dan sebahagiannya adalah sekolah menengah dan sebuah sekolah berkenaan memerlukan kos membaik pulih sekurang-kurangnya RM5 juta.

“Kita memandang serius tentang perkara berkenaan dan kita sedang berunding dengan Kerajaan Persekutuan untuk menyediakan peruntukan dan kerajaan negeri juga akan membantu semampu yang boleh.

Oleh itu kita berharap Kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan dan menyegerakan proses membaik pulih sekolah-sekolah berkenaan,” katanya kepada pemberita selepas melawat Perpustakaan Negeri Sabah Cawangan Tanjung Aru di sini, hari ini.

Dr Yusof  berkata sekolah yang dikategorikan tidak selamat akan diberi keutamaan dan disegerakan proses membaik pulih.

“Kita telah memastikan sebanyak 69 buah sekolah yang tidak selamat dan ia perlu dibaik pulih dengan cepat. Kini kita sedang mencari dana untuk projek membaik pulih berkenaan dan kita berharap ia dapat dilaksanakan sebelum Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang bermula 2021.

“Kita berharap penaiktarafan 518 lagi sekolah dapat dilaksanakan dalam RMK12,” katanya.

— BERNAMA

96