Stesen Kereta Api Melalap bakal beroperasi semula – Ketua Menteri

Mohd Shafie (dua, kanan) diberi taklimat mengenai fungsi beberapa peralatan yang digunakan oleh kakitangan North Borneo Railway iaitu mesin penanda tiket penumpang dan mesin kira sambil diberi penerangan oleh kakitangan Jabatan Keretapi Negeri Sabah (JKNS) yang lengkap berpakaian seragam era North Borneo Railway hari ini. – Gambar Bernama

TENOM, 31 Mac – Stesen Kereta Api Melalap, di sini, bakal beroperasi semula dalam tempoh sekurang-kurangnya tiga tahun dengan mempunyai landasan dan gerabak lebih baik selepas perkhidmatan kereta api di laluan itu ditamatkan 49 tahun lalu.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohjd Shafie Apdal berkata pembangunan semula stesen itu turut melibatkan kerja-kerja menaiktaraf landasan dari Tenom ke Melalap sejauh 14 kilometer dengan peruntukan RM10 juta.

Beliau berkata ini adalah usaha kerajaan negeri untuk memajukan perkhidmatan kereta api di Sabah sebagai sistem pengangkutan efisien menghubungkan kawasan luar bandar dan bandar.

Beliau berkata perkhidmatan kereta api itu juga akan memberi manfaat kepada penduduk setempat khususnya Tenom, Pensiangan dan Keningau kerana mereka mempunyai pilihan dan tidak hanya bergantung kepada perkhidmatan bas atau teksi.

“Kita akan menghubungkan (landasan Melalap) sehingga ke Tenom (seterusnya) ke Beaufort-Kota Kinabalu,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Projek Pembangunan Semula Landasan Kereta Api Tenom-Melalap di sini, hari ini.

Turut hadir dua Timbalan Ketua Menteri iaitu Datuk Jaujan Sambakong dan Datuk Wilfred Madius Tangau serta Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Datuk Peter Anthony.

Mohd Shafie bersama pemimpin yang hadir diiringi Pengarah Jabatan Keretapi Negeri Sabah Leonard S. Poyong kemudian menaiki kepala gerabak kereta api itu yang melalui landasan baharu sepanjang 300 meter sebagai gimik pelancaran projek tersebut.

Beliau berkata banyak manfaat boleh diperolehi menerusi inisiatif pembangunan semula stesen dan landasan kereta api kerana beliau yakin Tenom berpotensi besar bukan sahaja dalam pelancongan tetapi juga pertanian.

“Kereta api ini boleh digunakan untuk mengangkut hasil pertanian penduduk di sini dan mereka tidak bergantung sepenuhnya kepada pengangkutan bas atau lori,” katanya.

Mohd Shafie berkata landasan kereta api digunakan pada 1906 iaitu ketika zaman British juga akan dinaiktaraf, namun, mengambil sedikit masa kerana ada penduduk kampung telah membina rumah di kawasan berkenaan.

Mengenai pembangunan pekan baharu Melalap, Mohd Shafie berkata, inisiatif itu seiring dengan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pembangunan lebih seimbang dilaksanakan di setiap daerah.

Beliau berkata kerajaan negeri tidak akan hanya memberi fokus membangunkan kawasan bandar seperti Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau tetapi kawasan luar bandar juga akan diberikan keutamaan.

— BERNAMA

9