3 Lelaki Terjun Laut Elak Ditahan PPM

Antara peralatan mengebom dan ikan yang dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Lumanggas, di Semporna. – Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah

SEMPORNA: Tiga lelaki Bajau Palauh termasuk seorang juragan bertindak terjun ke laut selepas dikesan Pasukan Polis Marin (PPM) ketika menangkap ikan menggunakan bahan letupan di perairan Lumanggas, di sini, petang semalam.

Kegiatan tiga suspek yang berumur 30-an itu berjaya dihidu sepasukan anggota dari Unit Risikan Marin (URM) pada kira-kira jam 4 petang.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata anggota bot ronda RH7 yang menjalankan operasi di kawasan itu pada mulanya mengesan sebuah perahu menggunakan enjin pam dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, ketika sampai di kawasan cetek, ketiga-tiga lelaki dalam perahu terbabit bertindak terjun ke laut dan berenang ke daratan sebelum melarikan diri dan gagal dikesan.

“Pemeriksaan lanjut terhadap perahu berkenaan menemui satu batang peledak (detonator), satu kotak mancis dan satu botol kaca berisi baja ammonia yang disyaki digunakan untuk mengebom ikan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata barang rampasan termasuk perahu bersama satu unit enjin pam dan 20 kilogram (kg) ikan pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai RM4,113 dibawa ke pangkalan Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 47 (1) Akta Perikanan 1985 kerana menangkap ikan menggunakan bahan letupan,” katanya. – Berita Harian

Perahu yang gunakan – Foto Pasukan Polis Marin W4 Sabah
256