Tikam alat sulit kekasih suami selepas diajak seks ‘tiga serangkai’

Suami suspek dan kekasihnya dalam kejadian tadi.

SIBU – Rasa marah dan dendam seorang isteri membawa kepada pertumpahan darah selepas dia nekad menikam alat sulit teman wanita suaminya menggunakan pisau sepanjang 22 sentimeter akibat tidak berpuas hati diajak melakukan hubungan seks ‘tiga serangkai’ (threesome) di Jalan Lajong di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, kejadian pukul 9 malam itu berlaku selepas suspek yang berusia 46 tahun itu berpura-pura setuju untuk melakukan hubungan seks bersama.

Menurutnya, sebelum kejadian, suami suspek yang berusia 28 tahun membawa teman wanitanya berusia 34 tahun ke rumah sewa mereka untuk berbincang mengenai hubungan mereka.

“Selepas berbincang, mereka bertiga setuju untuk melakukan hubungan seks bersama namun suspek yang naik berang kemudian bertindak menikam alat sulit mangsa yang merupakan kekasih suami.

“Ketika itu, mereka berada di dalam sebuah bilik lain dan suami suspek kemudian menyedari kejadian itu sebaik isterinya bergegas lari meninggalkan bilik itu,” katanya ketika dihubungi tadi.

Tambah Stanley, sebelum kejadian juga, mereka bertiga sempat meminum minuman keras.

Mengulas lanjut, Stanley memberitahu, suaminya yang panik dengan kejadian itu kemudian mengejar isterinya berikutan terdengar teman wanitanya mengerang kesakitan sambil memberitahu dia ditikam.

“Si suami kemudian berjaya menangkap isterinya dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” ujarnya.

Jelasnya, buat masa ini, motif kejadian adalah disebabkan dendam dan cemburu kerana suspek sudah lama mengetahui suaminya menjalinkan hubungan sulit dengan mangsa.

Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata. – K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *