Empat Remaja Antara Ditahan Dalam Ops Cegah AADK Di Keningau

Anggota AADK sedang giat menjalankan Ops Cegah dadah di Keningau. – Gambar SNT/Ihsan AADK

KENINGAU: Empat remaja berusia 16 dan 17 tahun ditahan dalam Ops Cegah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di beberapa kawasan di sini semalam.

Ketua Pegawai AADK Keningau, Azry Golbin @ Azmi berkata remaja terbabit merupakan antara 15 individu yang ditahan mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah, Rawatan & Pemulihan 1983 kerana disyaki sebagai penagih dadah.

“Empat kes remaja bawah umur akan dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Keningau bagi tujuan penentuan syor yang bersesuaian oleh Pegawai Akhlak menerusi jabatan berkenaan.

“Penahanan keempat-empat remaja berkenaan membabitkan tiga orang rermaja berumur 16 tahun dan seorang lagi 17 tahun iaitu dua lelaki dan dua perempuan,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Suspek remaja perempuan yang ditahan dalam operasi Ops Cegah AADK. – Gambar SNT/Ihsan AADK

Azmi berkata tiga daripada kesemua suspek yang ditahan masih menjalani pengawasan pihak AADK Keningau bagi tempoh tiga tahun.

Katanya ketiga-tiga suspek bakal berhadapan dengan pendakwaan hukuman langgar syarat pengawasan yang melibatkan hukuman penjara selama tiga tahun beserta tiga sebatan rotan jika sabit kesalahan atas kesalahan menggunakan semula dadah dalam tempoh pengawasan.

Dalam pada itu, operasi yang berlangsung selama tiga jam itu turut berjaya menahan dua suspek perempuan yang turut positif ujian saringan dadah jenis Methamphetamine atau syabu.

Azry berkata tangkapan kes dadah yang melibatkan golongan wanita turut menunjukkan trend peningkatan yang ketara iaitu seramai 10 orang sehingga kini berbanding hanya dua orang dalam tempoh sama pada tahun lalu.

“Daripada angka yang dinyatakan ini, adalah menjadi suatu kebimbangan dan senario ini memperlihatkan bahawa golongan wanita adalah antara sasaran utama para pengedar dadah di daerah ini,” 

Sehubungan itu, AADK memohon agar semua pihak terus melaporkan sebarang aktiviti penyalahgunaan dan penagihan dadah melalui pejabat AADK Keningau di talian 087 339886 bagi mengelakkan permasalahan dadah semakin berleluasa. – SabahNewsToday

15