Dadah: Polis tahan 55 individu di Likas, Sembulan dan Tanjung Aru

Antara yang ditahan semasa Op Sarang Khas dijalankan di Kampung Sembulan, Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Polis menahan 55 individu atas pelbagai kesalahan bersabit dadah dalam operasi di sekitar bandar raya ini.

Operasi seminggu bermula Jumaat minggu lalu itu dilakukan di Likas, Sembulan dan Tanjung Aru .

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisoner Habibi Majinji, berkata semua suspek berumur 15 hingga 54 tahun yang ditahan itu termasuk tujuh warga asing.

“Seramai tujuh individu ditangkap atas kesalahan memiliki dadah, manakala 48 lagi didapati positif dadah selepas ujian air kencing dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Habibi berkata, polis turut merampas dadah jenis ganja seberat 272.45 gram yang dihantar menggunakan perkhidmatan kurier di pejabat pos, selain merampas 2.35 gram syabu, dengan rampasan dianggarkan bernilai RM11,200.

Katanya, usaha membanteras pengedaran dan penagihan dadah di sekitar Kota Kinabalu akan terus diperhebat bagi memelihara kesejahteraan masyarakat setempat, katanya. – BERNAMA

184