Remaja lelaki maut terkena bom ikan di perairan Pulau Gaya

SEORANG remaja lelaki maut terkena letupan bom ikan buatan sendiri di perairan Pulau Gaya Kota Kinabalu. – Foto KPD Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun maut selepas terkena letupan bom ikan di perairan berhampiran Pulau Gaya dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji, berkata kejadian itu menyebabkan mangsa yang tiada pengenalan diri dan berasal dari Kampung Pondo Pulau Gaya mati di tempat kejadian dalam keadaan putus kedua-dua belah kaki dan tangannya.

Katanya, letupan itu yang turut memecahkan sampan digunakan mangsa berlaku ketika mangsa hendak melontar bom ikan itu.

Polis dimaklumkan mengenai kejadian itu oleh Pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia yang terdengar bunyi letupan ketika melabuhkan bot di tepi pantai pulau berhampiran kira-kira jam 10.30 pagi, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Habibi berkata apabila pergi membuat pemeriksaan, Pegawai Maritim tersebut ternampak seorang kanak-kanak lelaki berusia lima tahun berdiri di tepi pantai sedang menangis dan memberitahu kejadian itu.

Menurutnya kanak-kanak itu membawa Pegawai Maritim ke lokasi kejadian dan menemukan mayat remaja lelaki itu dalam keadaan terapung.

Beliau berkata anggota Polis Marin dan Jabatan Bomba dan Penyelamat mengangkat mayat mangsa yang kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth di sini untuk bedah siasat. – BERNAMA

149