‘Kami harap diberi rumah’

Keadaan di pusat penempatan sementara di Dewan Serbaguna Kampung Air

MANGSA kebakaran di Kampung Air, Batu Sapi, Sandakan berharap diberi bantuan rumah seperti Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

Jaafar Hassan, 63, berkata, dia kini hanya bergantung kepada anak sulung yang bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk menyara keluarga selepas dia diserang angin ahmar, manakala isterinya, Halimah Mahmod, 58, mengalami kemurungan dan kurang daya ingatan.

Katanya, mempunyai tiga anak dengan yang sulung berumur 22 tahun, disusuli anak perempuan berumur 17 tahun, manakala seorang lagi masih berada di tingkatan dua.

“Sekarang kami cuma harapkan anak sulung menyara kami. Gajinya cuma RM1,100 sebulan. Mana mampu sewa rumah dan tanggung sekolah adiknya.

“Sehubungan itu, kami berharap kerajaan sudi bantu kami dengan menyediakan bantuan rumah,” katanya ketika ditemui di pusat penempatan sementara mangsa kebakaran di Dewan Serbaguna Kampung Air, hari ini.

Jaafar berkata, mereka juga berharap agar penempatan sementara disediakan kepada mangsa kebakaran yang tidak mampu menyewa rumah dan tiada ahli keluarga berhampiran.

Sementara itu, Penyelia Pembangunan Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Karamunting, Saidin Bakron berkata, seramai 364 mangsa berada di pusat penempatan sementara itu sejak Ahad lalu.

Katanya, bantuan ketika ini mencukupi dengan pelbagai pihak termasuk Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) menyalurkan sumbangan seperti makanan, selimut, makanan ringan, air mineral, baju, susu dan lampin pakai buang bayi.

Menurutnya, keputusan sama ada mangsa kebakaran akan terus dibenarkan tinggal di dewan berkenaan atau inisiatif lain bagi menempatkan mereka hanya akan ditentukan pada Sabtu ini.

Dalam kejadian 5.20 pagi Ahad lalu, kebakaran dipercayai bermula dari sebuah rumah sebelum merebak dengan cepat hingga memusnahkan 32 kediaman di penempatan atas air itu yang berkeluasan 0.8 hektar. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *