Jual kad keahlian Royal Sulu

Antara Suspek yang ditahan di Semporna dan Tambunan – FOTO BERNAMA

REKRUT anggota baru dengan jual kad keahlian kumpulan Royal Sulu Force (RSF).

Itu tindakan dilakukan dua suspek pengganas warga Filipina yang ditahan dalam serbuan di Semporna, Sabah pada 11 Mac lalu.

Dua lelaki itu antara 12 warga Filipina termasuk seorang wanita selain seorang lelaki tempatan yang ditahan selepas disyaki terbabit kumpulan pengganas dalam beberapa serbuan dilakukan di sekitar Semporna dan Tambunan, Sabah, pada 11 dan 12 Mac lalu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, operasi itu dijalankan Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman dengan kerjasama Cawangan Khas, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah dan Unit 69 Komando Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Katanya, tangkapan pertama dilakukan pada 11 Mac lalu di Semporna membabitkan lima lelaki warga Filipina dan seorang lelaki tempatan berusia antara 40 hingga 60 tahun.

“Empat daripada mereka disyaki terbabit pertempuran bersama kumpulan pengganas Maute di Bandar Marawi, Filipina pada 2017. Mereka turut memberi perlindungan kepada elemen kumpulan pengganas Maute serta beberapa warga Timur Tengah yang bersembunyi di Sabah.

“Dua lagi suspek ditahan disyaki anggota kumpulan RSF yang terbabit dalam insiden serangan di Lahad Datu dan Semporna pada 2013. Mereka turut terbabit merekrut anggota baru RSF dengan menjual kad keahlian kumpulan itu dalam kalangan warga Filipina yang menetap di Sabah.

“Kedua-dua suspek terbabit melarikan diri ke selatan Filipina selepas kekalahan kumpulan RSF. Bagaimanapun, kedua-dua suspek menyusup masuk ke Semporna untuk mengaktifkan semula aktiviti Kumpulan RSF di Sabah tahun lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.

Mohamad Fuzi berkata, lima lelaki dan seorang wanita warga Filipina berusia antara 23 hingga 63 tahun pula ditahan dalam tangkapan kedua pada 11 Mac lalu di Tambunan.

“Seorang daripada suspek bekerja sebagai buruh binaan dipercayai anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf Group (ASG) yang pernah terbabit insiden serangan di Bandar Marawi. Suspek menyusup masuk ke Sabah pada Disember tahun lalu bersama anggota kumpulan berkenaan bagi mengelak daripada operasi ketenteraan pihak berkuasa Filipina.

“Sementara itu, lima lagi suspek ditahan kerana terbabit memberi perlindungan kepada elemen kumpulan pengganas ASG dan kumpulan pengganas Maute yang masih bebas,” katanya.

Beliau berkata, tangkapan ketiga dilakukan pada 12 Mac di Tambunan membabitkan seorang lelaki warga Filipina berusia 39 tahun bekerja sebagai buruh binaan.

“Suspek ditahan kerana memberi perlindungan kepada elemen kumpulan pengganas ASG dan kumpulan pengganas Maute yang masih bebas.

“Dengan tangkapan itu, Bahagian Counter Terrorism Cawangan Khas yakin dapat mengesan dan memburu saki-baki anggota kumpulan ASG dan kumpulan pengganas Maute yang bersembunyi di negara ini terutama di Sabah,” katanya.

Katanya, semua yang ditahan disyaki melakukan kesalahan mengikut BAB VIA-kesalahan berkaitan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).

“Dalam operasi ini, 10 warga Filipina yang tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah turut ditahan dan diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) untuk tindakan lanjut,” katanya.- Harian Metro

Antara Suspek yang ditahan di Semporna dan Tambunan – FOTO BERNAMA
Antara Suspek yang ditahan di Semporna dan Tambunan – FOTO BERNAMA
Antara Suspek yang ditahan di Semporna dan Tambunan – FOTO BERNAMA
Antara Suspek yang ditahan di Semporna dan Tambunan – FOTO BERNAMA
Antara Suspek yang ditahan di Semporna dan Tambunan – FOTO BERNAMA
150