Berjalan 12 km pujuk murid ke sekolah

Guru SK Buayan, (dari kiri) Tay Oi Leng, Jeffery Joseph dan Zeabenia Mositol sanggup berjalan sejauh 12km untuk memujuk seorang murid Tahun Empat kembali belajar. – Ihsan SK Buayan

Guru berjalan 12km pujuk murid ke sekolah

PENAMPANG: Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Buayan, sebuah sekolah terpencil di pedalaman daerah ini, mengambil inisiatif melawat ke rumah sambil memujuk seorang murid Tahun Empat kembali belajar, walaupun terpaksa berjalan sejauh 12 kilometer (km) untuk berbuat demikian.

Guru Besar SK Buayan, Matius Kusop, berkata tiga guru terbabit mengambil masa tiga jam berjalan kaki pada minggu lalu, untuk melawat murid berkenaan yang tidak hadir ke sekolah selama tiga minggu.

Katanya, ini cubaan kedua diambil mereka untuk memujuk murid lelaki itu supaya kembali ke sekolah.

“Sebelum ini dalam lawatan pertama, guru kami juga pergi ke rumahnya di Kampung Pongobonon, tetapi mereka hanya dapat berjumpa dengan ibu bapa murid itu saja,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Matius berkata, kanak-kanak itu mendakwa tidak pergi ke sekolah kerana belum pulih daripada sakit kaki, namun pihak sekolah dimaklumkan bapanya bahawa dia sudah pulih tetapi mereka tidak dapat memujuknya untuk kembali ke sekolah.

Guru memujuk murid kembali ke sekolah selepas tidak hadir ke sekolah selama tiga minggu. – Ihsan SK Buayan

“Abang kepada murid itu berhenti sekolah ketika berada dalam Tahun Enam yang mana difahami pada masa lalu, murid terpaksa berjalan jauh setiap hari.

“Tetapi sekarang, sekolah ini sudah menyediakan asrama dan guru menjaganya (termasuk menyediakan makanan percuma).

“Bagaimanapun, dua adik mereka bersedia datang ke sekolah,” katanya sambil menambah murid berusia 10 tahun itu memberi alasan tidak lagi minat belajar.

Matius berkata, dalam lawatan itu, ibu bapa dan guru juga tidak berjaya memujuk murid itu untuk kembali ke sekolah, malah dia menarik baju ibunya sehingga koyak ketika guru cuba memujuknya.

“Kita tidak akan berputus asa untuk membawanya ke sekolah,” katanya.

Terletak di kawasan Banjaran Crocker, SK Buayan, sekolah Kategori 3 itu hanya boleh dilalui oleh kenderaan pacuan empat roda.

Selama tiga tahun berturut-turut, sekolah itu mencapai keputusan 100 peratus lulus dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). – Berita Harian

Guru memujuk murid kembali ke sekolah selepas tidak hadir ke sekolah selama tiga minggu. – Ihsan SK Buayan
Memujuk kembali ke sekolah selepas tidak hadir ke sekolah selama tiga minggu. – Ihsan SK Buayan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *