Maritim Malaysia tahan juragan tempatan seludup masuk PATI Indonesia ke Tawau

Antara PATI yang ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia

TAWAU, 17 Mac – Cubaan seorang juragan tempatan menyeludup masuk lima pendatang asing tanpa izin (PATI) Indonesia ke negeri ini secara tidak sah melalui perairan Sungai Haji Kuning, Pulau Sebatik, gagal apabila ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dalam satu operasi di perairan sini, semalam.

Dalam kejadian 1.30 tengah hari itu, bot dikendalikan juragan berusia 18 tahun berkenaan ditahan bot peronda Maritim Malaysia Tawau yang menjalankan rondaan Op Pluto Timur serta Op Maharlika II di kawasan tanggungjawab.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Tawau, Komander Maritim Mohd Yusri Hussin dalam satu kenyataan hari ini, berkata pemeriksaan awal mendapati juragan itu membawa penumpang terdiri daripada dua lelaki, dua wanita dan seorang kanak-kanak lelaki berumur antara tujuh hingga 38 tahun yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah.

“Ekoran itu, kesemua mereka ditahan dan dibawa ke jeti Maritim Malaysia Tawau untuk siasatan lanjut di bawah Akta Imigresen 1959/1963,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Yusri berkata orang ramai dapat memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat lengkap kepada Maritim Malaysia berkaitan aduan, kecemasan dan aktiviti jenayah di laut dengan menghubungi talian 24 jam Mers999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Tawau di 089-752115.

— BERNAMA

Bot yang digunakan cabaan membawa masuk PATI ke Tawau

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *