MA63 isu paling dekat di hati anak negeri Sabah – Shafie

KOTA KINABALU, 17 Mac – Isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) merupakan sesuatu paling dekat di hati anak negeri Sabah dan juga Sarawak, kerana mereka hanya mahukan pengiktirafan kedudukannya sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia, kata Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Beliau berkata apa dikehendaki oleh anak negeri Sabah adalah tidak lebih daripada hanya mahu perjanjian yang dimeterai dalam MA63 itu ditunaikan, termasuk dalam mengiktiraf kedudukan Sabah dan Sarawak sebagai wilayah seperti dahulu.

Katanya kerajaan negeri memahami dan mengetahui bahawa Sabah, begitu juga Sarawak, bukan lagi sebuah negara seperti sebelum ini, tetapi kedua-duanya adalah sebuah wilayah yang mempunyai kelainan daripada segi kedudukan autonominya, termasuk kuasa imigresen dan cukai tanah.

“Rakyat Sabah, dan juga Sarawak, sudah lama menunggu kedudukan itu, sudah pasti pasti ia menjadi satu perkara dekat di hati mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan taklimat khas Program Pengakuan Sukarela (PSS) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bersama Gabungan Persatuan-Persatuan Cina Sabah sini, hari ini.

Pada 8 Mac lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) Datuk Liew Vui Keong mengumumkan kabinet bersetuju membuat pindaan Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan untuk menjadikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung sebagai rakan kongsi.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *