Kota Kinabalu Dan Papar Catat Kualiti Udara Tidak Sihat

KOTA KINABALU: Ibu negeri Sabah merekodkan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tertinggi seluruh negara dengan merekodkan bacaan 138 setakat pukul 5 petang, hari ini.

Melalui laman sesawang Jabatan Alam Sekitar (JAS), bacaan IPU di Stesen Pengawasan Kualiti Udara Kota Kinabalu juga mencatatkan bacaan sehingga 143 pada pukul 1 petang tadi.

Gambar dron menunjukkan anggota bomba melakukan pemadaman di kawasan belukar yang terbakar akibat cuaca panas di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan Zico Mojib

Manakala, Stesen Pengawasan Kualiti Udara Kimanis mencatatkan bacaan yang hampir sama sepanjang empat jam berkenaan iaitu 118-119.

Menurut bacaan Stesen Pengawasan Kualiti Udara Kota Kinabalu dan Kimanis, ia mencatatkan lebih daripada tahap sederhana iaitu pada kategori kualiti udara tidak sihat.

Bacaan IPU antara 0 dan 50 dikategori sebagai baik, 51 hingga 100 (sederhana), 101 hingga 200 (tidak sihat), 201 hingga 300 (sangat tidak sihat) dan 300 ke atas dikategorikan sebagai berbahaya.

Sementara itu, Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah mencatatkan bilangan panggilan kebakaran hutan, belukar dan semak seluruh negeri sebanyak 27 panggilan setakat pukul 1 petang tadi.

Satu lagi gambaran dari udara menunjukkan anggota bomba melakukan pemadaman di kawasan belukar yang terbakar akibat cuaca panas di Kota Kinabalu. Gambar SNT/Ihsan Zico Mojib

Melalui kenyataan PGO, Kota Kinabalu adalah kawasan terbanyak membuat panggilan kebakaran tersebut dengan 12 panggilan.

Manakala, Tuaran sebanyak lima panggilan dan diikuti dengan Lintas sebanyak dua panggilan kebakaran. –SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *