Jabatan Alam Sekitar Sabah keluar amaran jangan lakukan pembakaran terbuka

KOTA KINABALU, 16 Mac РJabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah memberi amaran supaya orang-ramai tidak melakukan pembakaran secara terbuka berikutan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di dua daerah di sini  berada pada tahap tidak sihat.

Menurut JAS dua daerah iaitu Kota Kinabalu dan Kimanis mencatat IPU melebihi 100 sejak semalam manakala Sandakan dan Keningau ”sederhana”.

“Ini berpunca dari kebakaran yang berlaku di kawasan belukar di beberapa tempat berikutan cuaca panas dan kering pada ketika ini. Walaupun api telah padam di kawasan  terbakar itu namun masih mengeluarkan asap,” kata JAS Sabah dalam satu kenyataan malam ini.

Kata kenyataan itu, JAS juga sedang mengenal pasti pemilik bagi kawasan tanah yang terbakar untuk tindakan lanjut.

Sebarang rayuan terhadap pengurangan kompaun tidak akan dipertimbangkan bagi semua kompaun yang dikeluarkan dalam tempoh ini.

Orang ramai juga dinasihatkan agar mengurangkan aktiviti luar rumah, menghentikan aktiviti luar bilik darjah bagi murid-murid dan disarankan agar semua aktiviti keramaian/sukan di luar bangunan ditangguhkan.

Menurut JAS, sejak larangan pembakaran terbuka dikuatkuasakan pada Januari lepas, sebanyak 42 amaran bertulis telah dikeluarkan, tiga notis arahan, sembilan kompaun dan tiga kertas siasatan telah dibuka untuk dibawa ke mahkamah.

–BERNAMA

779