471,000 liter air bersih dibekalkan kepada18 kampung di Sook – PPM

KENINGAU, 17 Mac – Sebanyak 471,000 liter air bersih telah dibekalkan kepada 18 kampung di daerah ini berikutan penduduknya hilang punca bekalan air berikutan musim panas yang melanda negara ini.

Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Sook, Edward Kandok berkata pembekalan air bersih menggunakan lori tangki itu dilaksanakan sejak 3 Mac lepas diperoleh daripada catuan Jabatan Bekalan Air Daerah dengan menggunakan tangki berkapasiti besar dan akan berterusan sehingga keadaan pulih seperti biasa.

Katanya penduduk di kampung sukar mendapatkan bekalan air bersih disebabkan ada sumber air sungai yang kering disebabkan musim panas.

“Pemantauan yang dilakukan oleh pejabatnya juga mendapati banyak tanaman pekebun di seluruh daerah ini termasuk padi turut terjejas teruk.

Kami sangat bersimpati dengan mereka (pekebun dan peladang), kita akan mencari kaedah bagaimana untuk membantu mereka,” katanya kepada Bernama di sini, hari ini.

Sementara itu Bahagian Hal Ehwal Korporat Jabatan Air Negeri dalam satu kenyataan mengesahkan pengeluaran air terawat di loji itu telah berkurangan yang menyebabkan seluruh kawasan di daerah ini  menghadapi tekanan air rendah.

Sementara itu, Micheal Tadi, 60, seorang pekebun di Kampung Sondukut Sook menghargai usaha dibuat oleh Jabatan Bekalan Air menghantar air ke kampung mereka.

— BERNAMA

88