Manifesto gila angkara masjid berdarah

KUALA LUMPUR: Brent Tarrant, lelaki warga Australia yang disyaki menjadi penyerang utama Masjid Al Noor dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand semalam, dipercayai melakukan misi membalas dendam terhadap ribuan kematian di Eropah.

Lelaki itu menulis manifesto setebal 74 muka surat berjudul The Great Replacement dan menyiarkannya di Twitter.

Dia menggambarkan dirinya sebagai orang kulit putih biasa berusia 28 tahun dan lahir di Australia daripada keluarga berpendapatan rendah.

Lebih kejam, serangan di Masjid Al Noor itu turut disiarkan secara langsung di media sosial dan kelihatan seperti satu permainan video atas talian apabila dilihat menembak secara rambang semua jemaah dalam masjid berkenaan yang sedang menunggu solat Jumaat.

Video berdurasi 17 minit itu menunjukkan Tarrant berpakaian ala tentera melepaskan tembakan tanpa belas kasihan kepada jemaah yang ketika itu cuba melarikan diri.

MASJID Al Noor menjadi tempat serangan tembakan rambang pertama.

Sebelum masuk ke masjid dan melepaskan tembakan rambang, Tarrant turut memandang kamera sekali gus imej wajahnya berjaya dirakam dan tular di laman sosial.

Tarrant dipercayai sudah beberapa tahun tinggal di New Zealand dan bekerja di sebuah gimnasium sebagai jurulatih kecergasan.

Menggunakan tajuk ‘Mengapa anda melakukan serangan’, Tarrant mengatakan insiden itu untuk membalas dendam ribuan kematian disebabkan penceroboh asing.

Dia juga mahu membalas dendam atas kematian kanak-kanak perempuan Ebba Akerlund, 11, yang terbunuh dalam serangan rempuhan trak di Stockholm, Sweden pada 2017.

KELENGKAPAN yang digunakan Tarrant dalam serangan tembakan rambang di masjid.

Selain itu, dalam manifestonya, dia mahu membalas dendam terhadap insiden trak Stockholm, Sweden pada pada 7 April 2017 yang menyebabkan lima terbunuh manakala 14 mangsa lain cedera apabila seorang lelaki warga Uzbekistan merempuh orang awam di kawasan pejalan kaki menggunakan trak curi sebelum melanggar sebuah kedai di gedung beli-belah di Stockholm.

Tarrant mendedahkan, dia sudah merancang serangan itu sejak dua tahun lalu dan tiga bulan lalu dia memutuskan untuk menyasarkan masjid di Christchurch.

PEMBALUT luka dipenuhi darah di sepanjang jalan berdekatan Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand.

Ketua Polis New Zealand Mike Bush mengesahkan angka kematian meningkat 49 orang setakat jam 9 malam (waktu tempatan) semalam.

Dilaporkan, seramai 42 mangsa terbunuh di Masjid Al Noor manakala tujuh di Masjid Linwood dan 48 lagi dilaporkan cedera dalam serangan itu.

“Semua anggota polis diletakkan di kawasan tumpuan termasuk pasukan bersenjata ditempatkan di semua masjid,” katanya.

Bush berkata, dia menyeru semua umat Islam di New Zealand tidak ke masjid dalam waktu terdekat.

Polis menahan empat lelaki termasuk Tarrant dan seorang wanita selepas serangan itu. Seorang lelaki didakwa dan dihadapkan ke mahkamah hari ini.

PASUKAN keselamatan membawa mangsa keganasan ke hospital berdekatan.

Dalam kejadian pada jam 1.40 petang (waktu tempatan) itu Tarrant bersenjatakan raifal automatik melepaskan tembakan rambang di Masjid Al Noor dan menyiarkan serangan itu secara langsung di media sosial.

Rakaman video itu yang tular di Internet menunjukkan Tarrant memandu kereta ke sebuah masjid dan masuk ke dalam sebelum melepaskan tembakan rambang terhadap jemaah yang sedang bersolat.

Kira-kira 4 jam kemudian, penyerang juga dilaporkan melepaskan tembakan di Masjid Linwood yang terletak berhampiran Masjid Al Noor.

Perdana Menteri Australia, Scott Morrison mengesahkan, seorang penyerang berkenaan adalah warga Australia.

“Kami berdiri di sini dan mengutuk sama sekali serangan yang berlaku hari ini oleh seorang pelampau, sayap kanan, pengganas ganas,” kata Morrison pada sidang akhbar seperti dilaporkan AFP.

Beliau berkata, pihak berkuasa keselamatan Australia sedang menyiasat sebarang hubungan antara negara dan serangan itu, tetapi enggan memberi butiran lanjut mengenai lelaki bersenjata itu.

“Kita bukan setakat sekutu sahaja, kita bukan sekadar rakan kongsi, kita adalah keluarga,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *