Suamiku kejam!

GAMBAR HIASAN

TIDAK hanya menarik rambut malah kepala isterinya disepak berkali-kali dengan kasut selepas menuduh wanita itu menjalinkan hubungan sulit dengan lelaki lain.

Ketika kejadian 1.30 pagi kelmarin di Lahad Datu, mangsa sedang tidur di biliknya di kuarters kerajaan sebelum dikejutkan suaminya.

Lelaki itu secara tiba-tiba menarik rambut serta menendang kepala isterinya beberapa kali dan ketika itu suaminya masih memakai kasut operasi.

Mangsa yang cuba berdiri kemudian ditendang di bahagian badannya sambil menuduh mangsa curang.

Tidak tahan diperlakukan sedemikian, mangsa cuba melawan namun suaminya bertindak memukul menggunakan bingkai gambar.

Akibat kejadian itu, mangsa berusia 27 tahun cedera dan bengkak di kepala dan badannya.

Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, berdasarkan laporan dibuat oleh mangsa, suspek yang juga suami mangsa ditahan jam 10.30 malam hari sama.

“Siasatan awal mendapati punca kejadian, suspek cemburu dan menuduh isterinya curang.

“Suspek berusia 29 tahun kini direman sehingga 17 Mac ini untuk siasatan lanjut,” katanya hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18A Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *