Sabah Wujudkan Skim Pendidikan Untuk Pelajar Daripada Keluarga Miskin Tegar

Menteri Pelajaran Dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob (tiga,kiri) menyampaikan sumbangan kepada murid-murid sekolah mangsa kebakaran ketika melakukan lawatan di pulau itu hari ini.Sebanyak 81 buah rumah dan dua kuarters guru sekolah musnah terbakar di Kampung Karakit, Pulau Banggi dekat Kudat, 13 Januari lalu menyebabkan 303 orang kehilangan tempat tinggal. – Gambar Bernama

KUDAT, 15 Mac – Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah mewujudkan Skim Pendidikan untuk menaja pelajar daripada keluarga miskin tegar untuk melanjutkan pelajaran di institusi kemahiran.

Menterinya Datuk Dr Yusof Yacob berkata menerusi skim itu, pelajar terpilih tanpa mengambil kira kelulusan akan dihantar menjalani kursus dan latihan di institusi kemahiran yang layak mereka sertai.

Katanya skim ini akan dimulakan pada tahun ini sebagai usaha kerajaan negeri Sabah membantu pelajar daripada keluarga miskin tegar memperoleh pekerjaan dan seterusnya meraih pendapatan.

β€œIni merupakan peranan di bawah kementerian saya untuk mempercepatkan proses mengeluarkan rakyat miskin tegar di negeri ini menerusi pelajaran,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Titian Kasih dan penyerahan sumbangan Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Yayasan Pelajaran Mara (YPM) kepada murid Sekolah Kebangsaan Karakit di Pulau Banggi dekat sini, hari ini.

Hadir sama, Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Banggi Mohammad Mohamarin, Ketua Pegawai Eksekutif YPM Zakariah Mat Sam dan Pengarah Mara Sabah Suhaimi Zainuddin. 

Yusof yang juga Adun Sindumin berkata di bawah skim itu, kementeriannya memperuntukkan RM5 juta dengan sasaran 200 pelajar setiap tahun.

Katanya kementeriannya juga telah mengenal pasti beberapa institusi kemahiran yang sesuai di negara ini untuk menghantar pelajar terpilih di bawah skim itu.

Dalam pada itu, beliau berkata kementeriannya juga membantu pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Peperiksaan Malaysia (STPM) di negeri ini untuk mendapatkan biasiswa melanjutkan pelajaran.

Katanya biasiswa tersebut yang ditawarkan oleh Mara, Yayasan Sabah dan Petronas bagi memberi peluang pelajar cemerlang melanjutkan pelajaran dengan sasaran di 20 universiti terbaik di dunia.

Mengenai pencapaian keputusan SPM negeri ini, beliau berkata biarpun ada peningkatan sebanyak 0.08 peratus tetapi dari segi pencapaian keseluruhan masih ada ruang perlu diperbaiki.

Menurutnya kementeriannya sedar isu setempat membabitkan infrastruktur dan kemudahan pembelajaran memberikan impak terhadap keputusan peperiksaan di peringkat sekolah rendah dan menengah di negeri ini.

β€” BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *