Semporna dijangka terima limpahan pengunjung April depan

KOTA KINABALU: Semporna dijangka menerima limpahan pengunjung sempena perayaan jubli perak Regatta Lepa pada 26 hingga 27 April depan. 

Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sembakong yang juga pengerusi jawatankuasa pelaksana berkata pihaknya kini bersiap sedia dan yakin acara sambutan ke-25 tahun itu akan berjalan lancar dan meriah. 

“Berdasarkan maklumat daripada Pejabat Daerah, seramai 3,000 pelancong datang ke Semporna pada setiap hari untuk menikmati keindahan pulau dan melakukan aktiviti scuba diving. 

“Jadi, pada sambutan regatta nanti, kita manfaatkan kesempatan ini dengan mengajak mereka melihat sendiri keindahan daerah ini yang bukan sahaja terkenal sebagai syurga untuk para penggemar scuba diving, tetapi juga kebudayaan masyarakat di sini. 

“Malah, pentadbiran daerah telah menjalankan perbincangan bersama operator-operator pelancong untuk meminta mereka memainkan peranan mempromosi sambutan pada kali ini. 

“Apa yang pasti, kita akan bawakan kelainan pada tahun ini khusus untuk para pengunjung dari dalam dan luar negara. 

“Jika dahulu, jumlah pengunjung mencecah 50 ribu orang, tetapi pada kali ini kita yakin dengan pimpinan kerajaan baharu, sambutan akan lebih meriah dan menjangkakan kehadiran pelancong yang berlipat ganda,” katanya. 

Ditanya mengenai masalah kekurangan penginapan serta kesesakan lalu lintas, Jaujan yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan menjelaskan, jawatankuasa berusaha sebaik mungkin untuk mengatasi masalah berkenaan dan menasihatkan agar para pengunjung datang lebih awal. 

“Bagi pengunjung dari daerah berhampiran seperti Sandakan, Kunak, Lahad Datu, Tawau dan sebagainya, kita nasihatkan agar bergerak lebih awal dan mengelak tiba di pekan pada waktu puncak. 

“Sementara, bagi penduduk Semporna yang tinggal berhampiran tapak sambutan, kita galakkan agar berjalan kaki atau menggunakan motosikal bagi mengurangkan kesesakan,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat terhadap Yang Dipertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin, di Istana Negeri.

Menurut beliau, kunjungan itu bertujuan menyampaikan undangan kepada Juhar, di samping memaklumkan perkembangan persiapan bagi sambutan yang telah dimasukkan dalam kalendar pelancongan Sabah. – Utusan Borneo

122