Ibu cedera teruk didera anak dan menantu

Wanita berusia 70-an itu mengalami kecederaan teruk di bahagian badan dan dikurung di dalam rumah. – Foto media sosial

Ibu tua didera, dikurung anak menantu, berjaya diselamatkan

BUKIT MERTAJAM: Seorang warga emas yang sekian lama menjadi mangsa dera oleh anak dan menantunya sendiri, malah turut dikurung dalam rumahnya, berjaya diselamatkan dalam kejadian di Flat Sri Desa Wawasan, di sini, pada Rabu.

Wanita berusia 70-an itu, yang mengalami kecederaan teruk di bahagian badan, diselamatkan selepas dia meminta bantuan jirannya ketika anak dan menantunya tiada di rumah pada jam 1 tengah hari.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata jiran warga emas itu bertindak membantu dengan memotong kunci gril rumah itu sebelum lelaki berkenaan menghubungi polis, ambulans dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk tindakan lanjut.

Katanya, wanita itu dihantar ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut berikutan terdapat beberapa kecederaan di bahagian belakang badan, tangan dan kepalanya.

Hasil siasatan awal pihaknya mendapati pasangan suami isteri itu jarang memberi wanita itu makanan kerana mendakwa mempunyai masalah kewangan.

Susulan kejadian itu, polis telah menahan dua anak lelaki dan menantu perempuan warga emas berkenaan yang berusia 40-an bagi membantu siasatan kes berkenaan.

Nik Ros Azhan berkata, berdasarkan maklumat daripada JKM, dua anak lelaki warga emas itu menerima bantuan daripada jabatan berkenaan dan mereka mempunyai masalah mental dan tidak bekerja.

Sementara itu, menantu perempuan mangsa juga merupakan orang kurang upaya (OKU) dan terpaksa menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Polis masih menyiasat bagi mengenal pasti individu yang mungkin telah mendera wanita itu kerana ketika diselamatkan, mangsa hanya mendiamkan diri sehingga dibawa ke HSJ.

Selain itu, polis juga akan mengambil keterangan daripada jiran-jiran mangsa bagi membantu siasatan kes itu. – Awani Online

Wanita berusia 70-an itu mengalami kecederaan teruk di bahagian badan dan dikurung di dalam rumah. – Foto media sosial
Wanita berusia 70-an itu mengalami kecederaan teruk di bahagian badan dan dikurung di dalam rumah. – Foto media sosial

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *