Hadkan anak-anak main telefon

GAMBAR HIASAN

KUALA LUMPUR – Zaki, 7, adalah kanak-kanak normal sehinggalah ibunya, Suziela Khalid, 35, merasakan ada sesuatu yang tidak kena dengan anak lelakinya itu, membabitkan masalah penglihatan.

“Zaki menghadapi masalah apabila dia kadang-kadang langsung tidak boleh menulis atau menyalin perkataan mudah daripada buku teks untuk menyiapkan kerja sekolah di rumah. Dia juga banyak menggunakan telefon, menonton YouTube hingga habis bateri.

“Jadi saya buat keputusan untuk bawa anak saya mendapatkan rawatan doktor, dan doktor akhirnya mengesahkan bahawa Zaki menghidap myopia dan suruh saya tambah bekalan Vitamin A dalam makanan Zaki menerusi sayur-sayuran terutamanya lobak merak selain minum lebih banyak susu,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Kata Suziela, kini selepas setahun berlalu, penglihatan Zaki semakin baik dan dia tidak lagi perlu menggunakan cermin mata dengan kerap.

Dalam kes berasingan, Ryzal Sharif, 40, dari Sabah berkata dia menyedari anak perempuannya yang berumur enam tahun seringkali mengecilkan matanya apabila melihat skrin telefon, lalu segera merujuk kanak-kanak itu kepada doktor.

“Menurut doktor, anak saya Sophie menghidap myopia dan pada usia enam tahun, dia terpaksa memakai cermin mata kanak-kanak. Sekarang saya hanya membenarkan mereka bermain gajet pada hujung minggu, bukan melarang terus penggunaan gajet, tetapi mengehadkan masa bagi mereka menggunakannya supaya mereka terus mengikuti perkembangan teknologi.

“Doktor juga nasihatkan saya supaya membawa Sophie melakukan lebih banyak aktiviti di luar dan bukannya mengisi masa serta ruang dengan bermain peranti elektronik,” katanya.

Sementara itu, Pakar Runding Oftalmologi Dr Azura Ramlee dari Prof Muhaya Eye & Lasik Centre (PMELC) berkata menggunakan peranti elektronik hanya selama sejam sehari sudah memadai bagi kanak-kanak berumur dua hingga lima tahun untuk mengelak mereka daripada menghidap myopia, sejenis masalah penglihatan.

Dr Azura berkata masalah penglihatan semakin tersebar luas di kalangan kanak-kanak akibat daripada terlalu terdedah kepada cahaya skrin gajet elektronik.

Beliau berkata kajian oleh Segamat Paediatric Eye Disease Study (SEGPAEDS), yang dijalankan bersama dengan Kementerian Kesihatan pada 2018 mendapati myopia atau rabun jauh menjejaskan satu peratus daripada 1,287 kanak-kanak seawal umur empat hingga enam tahun.

“Namun ia lebih meluas kepada kanak-kanak berusia tujuh tahun iaitu pada kadar 9.8 peratus, manakala satu lagi kajian menunjukkan myopia meningkat 34.4 peratus dalam kalangan kanak-kanak berumur 15 tahun,” katanya kepada Bernama.

Dr Azura berkata kanak-kanak ini didapati menghabiskan masa yang lama tanpa dikawal untuk bermain gajet elektronik seperti telefon bimbit, tablet dan komputer, mengakibatkan mereka mengalami Sindrom Penglihatan Komputer (CVS) seperti pandangan kabur, mata kering, mata letih dan sakit kepala.

“Mata dicipta bukan untuk melihat skrin yang kecil, pada jarak yang terlalu dekat dan lama. Jadi buat seketika, apabila kanak-kanak itu mengalihkan pandangannya ke tempat lain, dia tidak dapat melihat dengan jelas sebelum pandangannya kembali jelas dan ini akan mengakibatkan terjadinya myopia,” katanya.

Beliau berkata kajian oleh American Academy of Paediatrics (AAP) mencadangkan kanak-kanak di bawah umur dua tahun tidak menonton televisyen atau video kerana ia boleh memberi kesan kepada perkembangan saraf motor dan memperlahankan keupayaan mereka untuk bercakap.

Peranti elektronik boleh diperkenalkan kepada kanak-kanak tetapi ibu bapa mesti menanam disiplin dan menetapkan tempoh masa supaya anak mereka boleh menjalani proses tumbesaran yang sihat serta holistik.

“Sungguhpun myopia tidak berbahaya, ia perlu dirawat dengan cermin mata dan rawatan menggunakan ubat-ubatan yang disyorkan doktor,” katanya.

Mengenai sama ada tempoh melihat skrin yang berlebihan boleh mengakibatkan mata juling dalam kalangan anak kecil, Dr Azura menjelaskan masalah itu lazimnya mengambil masa untuk berlaku dan selain itu, tiada bukti kukuh bahawa gajet elektronik boleh mengakibatkan mata menjadi juling.

“Sukar bagi kami untuk menyimpulkan bahawa juling berpunca daripada gajet elektronik. Tidak semestinya melihat gajet elektronik bagi tempoh yang lama boleh mengakibatkan juling. Bagaimanapun, keputusan lain yang mudah diperoleh adalah CVS,” katanya. – Bernama

433