APMM Sabah tahan dua bot jongkong bersama dua tekong, 14 awak-awak

Awak-awak dan tekong yang ditahan APMM dalam Ops Sejahtera di Pulau Gaya. – Gambar SNT/Ihsan APMM

KOTA KINABALU, 14 Mac – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Sabah menahan dua bot jongkong bersama 14 awak-awak dipercayai warga Filipina atas pelbagai kesalahan dalam operasi khas, awal pagi tadi.

Dalam Op Sejahtera kira-kira 3 pagi, APMM Sabah turut menahan dua tekong tempatan semasa operasi khas itu di kawasan lebih kurang 0.3 batu nautika dan 0.2 batu nautika Timur Laut, Pulau Gaya, di sini.

Pengarah APMM Sabah Kamaruszaman Abu Hassan berkata kedua-dua bot berkenaan dikesan sedang dalam perjalanan menuju ke arah Timur Laut Pulau Gaya dan dipercayai menuju ke laut dalam sekitar pelantar minyak berhampiran.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua bot itu membawa tujuh bot kecil beserta enjin sangkut tanpa lesen selain tiada nombor pendaftaran dan menggunakan nama tekong yang tidak sama dalam syarat sah lesen,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Antara bot-bot kecil berenjin sangkut tanpa lesen dan tiada nombor pendaftaran yang dirampas dalam operasi APMM. – Gambar SNT/Ihsan APMM

Beliau berkata kesemua awak-awak itu didapati memiliki dokumen Jabatan Ketua Menteri meragukan selain gagal menunjukkan dokumen sah ke negara ini.

Kamaruszaman berkata kedua-dua bot itu bersama awak-awak terbabit telah dibawa ke Jeti APMM Sepanggar untuk siasatan lanjut.

Kes disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Jabatan Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002, katanya.

“Siasatan lanjut akan dijalankan terhadap bot ditahan bagi mengenal pasti penglibatan mereka dalam pencerobohan kawasan larangan di pelantar minyak di pantai barat Sabah.

“APMM Sabah menerima aduan awam mengenai penglihatan bot-bot kecil menggunakan enjin sangkut menjalankan aktiviti perikanan dalam kawasan larangan pelantar dan ia adalah salah daripada segi undang-undang,” katanya, dan menambah, kawasan pelantar minyak adalah kawasan diwartakan sebagai kawasan larangan.

Dalam pada itu, Kamaruszaman berkata, kerjasama orang awam amat diperlukan dalam menyalurkan maklumat berhubung aktiviti maritim mencurigakan bagi membolehkan pihak berkuasa mengambil tindakan segera seterusnya membanteras kegiatan tersebut.

Orang awam boleh menyalurkan aduan ke pusat operasi maritim Sabah di talian 088-270165 atau MERS 999 sekiranya terdapat sebarang kes kecemasan di laut,” katanya.

— BERNAMA

265