TYT Sabah terima jemputan rasmi ke pameran LIMA’19 di Langkawi

Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin

KOTA KINABALU, 13 Mac – Tuan Yang Terutama (TYT) Negeri Sabah Tun Juhar Mahiruddin hari ini menerima kunjungan hormat daripada Panglima Armada Timur Laksamana Madya Datuk Abdul Rahman Ayob di Istana Negeri, di sini.

Rombongan Abdul Rahman tiba di istana pada 10 pagi dan pertemuan berlangsung kira-kira 40 minit.

Bercakap kepada pemberita selepas pertemuan itu, Abdul Rahman berkata kunjungan hormat berkenaan bertujuan mewakili Menteri Pertahanan Mohamad Sabu menyampaikan jemputan rasmi kepada Juhar untuk ke Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi 2019 (LIMA’19) yang akan berlangsung pada 26 hingga 30 Mac ini di Langkawi, Kedah.

“Berdasarkan pertemuan sebentar tadi, TYT Tun Juhar telah bersetuju untuk menghadiri persidangan LIMA’19 pada 27 Mac ini di Langkawi, dan pihak kami akan mengaturkan program untuk beliau seterusnya membolehkan beliau berada di Langkawi pada tarikh itu,” katanya.

Abdul Rahman berkata pameran LIMA yang kini memasuki edisi ke-15 menyenaraikan sebanyak 386 syarikat pempamer tempatan dan antarabangsa yang telah mengesahkan penyertaan pada pameran itu.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *