Sabah catat kes tibi tertinggi

Dr Nurhayati (kanan) pada sidang media sempena sambutan Hari Tibi Sedunia 2019 anjuran IPR dan Yayasan Paru-Paru Malaysia, di Kuala Lumpur, hari ini. – NSTP/Amirudin Sahib

KUALA LUMPUR: Sabah mencatatkan kadar insiden penyakit tuberkulosis (tibi) tertinggi sejak 2017 berdasarkan kadar populasi penduduk berbanding negeri lain diikuti Selangor.

Dua tahun lalu terdapat 26,168 kes tibi dilaporkan dengan jumlah kematian 2,098 kes, berbanding 16,422 kes sehingga Ogos 2018 di seluruh negara.

Pengarah Institut Perubatan Respiratori (IPR), Dr Nurhayati Mohd Marzuki, berkata daripada jumlah itu, kira-kira 12 sehingga 13 peratus kes membabitkan pendatang asing dan selebihnya adalah penduduk negara ini.

Bagaimanapun, beliau berkata jumlah keseluruhan kes tibi hanya diumumkan pada sambutan Hari Tibi Sedunia peringkat kebangsaan di Melaka pada April ini.

“Stigma ke atas penyakit tibi menyebabkan ramai enggan mendapatkan rawatan menyebabkan penyakit itu mudah merebak kepada orang lain.

“Rasa malu menyebabkan ramai yang dijangkiti tibi datang sangat lewat ke hospital untuk mendapatkan rawatan sewajarnya.

“Pesakit yang dijangkiti bakteria Mycobacterium Tuberculosis boleh memindahkan bakteria berkenaan kepada sepuluh pesakit dan seterusnya kepada sepuluh pesakit lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sambutan Hari Tibi Sedunia 2019 anjuran IPR dan Yayasan Paru-Paru Malaysia, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datin Seri Dr Asmah Samat dan Presiden, Datuk Dr Zainuddin Md Zin.

Diagnosis segera

Mengulas isu sama, Dr Asmah berkata, sejajar tema sambutan Hari Tibi Sedunia, ‘Inilah Masanya’, langkah drastik perlu diambil semua pihak mengawal tibi di negara dengan mencari, membuat diagnosis dan merawat lebih 40 juta orang yang mendapat kesan daripada penyakit itu sebelum 2022.

“Inilah masanya membuat diagnosa dengan cepat dan tepat dengan menyeru pesakit yang mempunyai tanda penyakit ini untuk segera berjumpa doktor seperti batuk melebihi dua minggu, demam terutama lewat petang, tiada selera makan, hilang berat badan, berpeluh pada waktu malam dan batuk.

“Penyebaran tibi perlu dihentikan sebelum terlambat dengan memberi rawatan kepada pesakit tibi terpendam selain mengubah sikap sambil lewa,” katanya.

Sementara itu, Dr Zainuddin, berkata pihaknya mengharap peningkatan jumlah penyertaan doktor swasta dalam merawat tibi kerana ketika ini, lebih 90 peratus rawatan dijalankan di hospital atau pusat kesihatan kendalian KKM. – Berita Harian

Info

Pertubuhan Kesihatan Sedunia menganggarkan:

• 10 juta kes baharu tibi di seluruh dunia pada tahun 2017

• Kira-kira 24,000 kes baharu setiap hari.

• 1.6 juta kematian dengan 4,000 kematian setiap hari

121