Syarikat kurier curi air di Tawau dikompaun RM5,000

Kakitangan Pejabat Jabatan Air Tawau membuat pemotongan paip keatas sebuah syarikat perkhidmatan menghantar barang kerana melakukan penyambungan paip secara haram. Gambar Ihsan Pejabat Jabatan Air Tawau

TAWAU, 12 Mac – Sebuah syarikat perkhidmatan kurier di Bandar Sri Indah, Batu 10 dekat sini, dikompaun RM5,000 oleh Jabatan Air Tawau selepas didapati melakukan penyambungan paip secara haram.

Kegiatan itu dikesan dalam operasi jam 10.40 pagi tadi susulan maklumat berhubung penyambungan paip haram dan kegiatan curi air oleh syarikat terbabit.

Jurutera Air Bahagian Tawau, Asabri Robensen dalam satu kenyatan hari ini berkata siasatan mendapati terdapat sambungan dari paip utama menggunakan stand paip saiz dua inci disambungkan terus ke premis kurier tersebut.

“Tindakan pemotongan telah diambil oleh Penguatkuasa Jabatan Air selaras undang-undang di bawah Seksyen 49(b) Enakmen Bekalan Air Negeri Sabah 2003,” katanya.

Operasi itu tamat pada pukul 11.30 pagi.

Sehubungan itu, Asabri menasihatkan pengguna mematuhi undang-undang sebagaimana dinyatakan dalam Enakmen Bekalan Air 2003 atau berdepan denda berat jika didapati melakukan kesalahan.

“Orang ramai juga diminta melaporkan sebarang kes kecurian atau kebocoran paip air dengan menghubungi talian Hotline Jabatan Air Tawau di 019-5354600 atau 089- 761057,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *