Terus gempur sarang penagih, pengedar dadah – Mohd Azis

Foto Facebook Dato’ Mohd Azis Bin Jamman

KOTA KINABALU: Polis menahan 25 lelaki disyaki penagih dan pengedar dadah, termasuk berusia 14 tahun, di kawasan setinggan berhampiran Kampung Cenderamata 2, Likas, di sini, semalam.

Dalam serbuan melalui Ops Sarang yang diketuai Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, sebanyak lapan gram syabu turut dirampas.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman yang juga Ahli Parlimen Sepanggar, berkata semua suspek berumur 14 hingga 63 tahun itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan lanjut.

“Kawasan Sepanggar adalah pusat pentadbiran Kerajaan Sabah dan kita tidak mahu ia dikenali sebagai pusat penyalahgunaan dadah.

“Operasi hari ini (semalam) adalah usaha dilakukan setiap minggu bagi memastikan kawasan Parlimen Sepanggar dapat dibersihkan daripada gejala, terutama pengedaran dan pengambilan dadah,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan dalam Ops Sarang itu.

Beliau berkata, orang ramai terutama masyarakat di kawasan Sepanggar, diminta untuk terus memberi kerjasama menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa berhubung kegiatan penyalahgunaan dadah.

Dadah jenis syabu yang dirampas dalam Ops Sarang di kawasan setinggan berhampiran Kampung Cenderamata 2, Likas, di Kota Kinabalu. – Foto Ryan Stanley

“Kejayaan operasi hari ini (semalam) juga adalah hasil bantuan orang ramai kerana ia membabitkan rangkaian cukup besar dan bukan sahaja berada di Malaysia tetapi juga luar negara.

“Saya yakin dan percaya dengan usaha berterusan polis, termasuk kerjasama orang ramai, dalang sebenar atau jerung besar seperti yang saya selalu katakan akan kita berkas,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azis berkata, rumah setinggan yang dikenal pasti menjadi sarang penagih atau pengedar dadah, akan dirobohkan.

“Kita meminta kerjasama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu, mana-mana rumah dikesan menyimpan syabu atau apa-apa jenis dadah di kawasan setinggan, kita robohkan saja.

“Kita tidak berkompromi mengenai ini (dadah) kerana isu berkenaan sudah lama berlarutan. Kita perlu tegas dalam hal ini,” katanya. – Berita Harian

Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Mohd Azis Jamman, bersama Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji, melihat beberapa lelaki yang ditahan dalam Ops Sarang kerana disyaki terbabit dalam penyalahgunaan dadah di kawasan setinggan berhampiran Kampung Cenderamata 2, Likas, di Kota Kinabalu. – Foto Facebook Dato’ Mohd Azis Bin Jamman
361