Pemandu Berusia 58 Tahun Maut Kemalangan Di Jalan Sugud

Kenderaan mangsa yang terjatuh ke dalam gaung di Jalan Sugud pada petang Khamis. Gambar SNT/Ihsan Bomba

PENAMPANG: Seorang pemandu berusia 58 tahun maut apabila kereta yang dipandunya terbabas sendiri dan jatuh 50 meter ke dalam gaung di Jalan Sugud, Kampung Simpangor Sugud, petang Khamis.

Pegawai Bomba Kanan (PBK) Satu, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang Rudy Meki berkata warga emas yang dikenali sebagai Matris @ Patrick Daulit meninggal dunia di tempat kejadian.

Manakala, penumpang bersamanya dalam kenderaan pacuan empat roda jenis Mazda itu, seorang wanita berusia 89 tahun mengalami kecederaan parah.

Mangsa yang dikenali sebagai Juwina Soboo telah dihantar ke Hospital Queen Elizabeth Satu menggunakan ambulan, katanya di sini.

BBP Penampang menerima panggilan kecemasan tersebut pada pukul 6.21 petang dan sepasukan anggota bomba diketuai oleh Rudy dengan dua buah jentera dan sebuah Vigo telah dikejarkan ke tempat kejadian lebih kurang 11 kilometer jauh.

Operasi ditamatkan pada pukul 9.05 malam. -SabahNewsToday

101