Sabah teliti program banteras penyalahgunaan gam

Dua remaja perempuan dipercayai menghidu gam atas bumbung sebuah bangunan kedai di Kampung Air, Kota Kinabalu, yang viral di laman sosial pada dua tahun lalu . – Foto ihsan pembaca

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah akan meneliti program untuk membanteras penyalahgunaan gam di negeri ini, khususnya dalam kalangan kanak-kanak.

Menterinya, Datuk Stephen Wong Tien Fatt, berkata pihaknya akan mengambil inisiatif bagi membanteras masalah itu, termasuk bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan lain untuk menyediakan program lebih konkrit bagi menangani bahaya penyalahgunaan gam.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong Tien Fatt.

“Saya juga meminta semua pihak, termasuk badan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama dan mengadakan lebih banyak program kesedaran dadah di sekolah.

“Bagaimanapun, pada masa ini, di Sabah dadah jenis syabu paling tinggi penggunaannya… kita tidak tahu bagaimana dadah itu dengan mudah masuk ke sini.

“Oleh itu, saya mahu mencadangkan satu jawatankuasa khas membabitkan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa seperti Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), polis dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) sebagai badan pelaksana program membanteras penyalahgunaan dadah di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Ke-22 Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Bandaraya Kota Kinabalu yang turut dihadiri Datuk Bandar Kota Kinabalu, Datuk Nordin Siman dan Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Datuk Amullah Kamal.

Terdahulu dalam ucapannya, Tien Fatt yang juga Pengerusi PEMADAM Sabah, melahirkan rasa bimbang dengan masalah dadah di negeri ini, susulan lawatannya ke Pusat Pemulihan Jagaan dan Rawatan (CCRC) Papar, baru-baru ini.

“Saya mendapati penghuni di situ melebihi kapasiti iaitu lebih 400 orang sedangkan kapasiti pusat itu hanya 268 orang saja,” katanya sambil menegaskan penambahan pusat seperti CCRC bukan penyelesaian masalah dadah di Sabah.

Dalam perkembangan lain, beliau menasihatkan sekolah di negeri itu mengurangkan kegiatan luar demi keselamatan murid dan pelajar susulan musim panas yang melanda sejak beberapa minggu lalu.

Katanya, walaupun setakat ini kementeriannya belum menerima sebarang laporan berkaitan masalah kesihatan atau strok haba disebabkan cuaca panas, pihak sekolah dinasihatkan mengambil langkah perlu bagi mengelak perkara tidak diingini. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *