3,000 penduduk terjejas akibat kurang bekalan air

TUARAN: Lebih 3,000 penduduk membabitkan 20 kampung di daerah ini terjejas selepas mengalami masalah kekurangan air berikutan cuaca panas berpanjangan yang melanda negeri ini.

Antara kampung yang menerima bantuan bekalan air sejak kelmarin ialah Kampung Penimbawaan, Kapa, Kelawat, Ulu Bakut, Simpangan Lama, Ruhiang, Dopu, Bukit Giling, Logkou Baru, Koporingan dan Minangkob.

Antara kampung yang mula memohon bantuan bekalan air semalam ialah Tambulaong, Kotunuan Baru, Moingob, Hamad dan Bungalio.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Tuaran, Paulina Francis, berkata pihaknya dengan kerjasama Jabatan Perancang Bandar dan Desa (JPBD) Tuaran serta Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Sulaman, Tamparuli dan Kiulu menyalurkan bantuan bekalan air sejak kelmarin.

“Bermula 8 pagi kelmarin sehingga petang semalam, tujuh lori dengan muatan tiga tan air digunakan untuk menyalurkan air kepada penduduk di 11 kampung yang mengalami masalah kekurangan air.

“Semalam kita turut menerima sembilan lagi kampung yang terjejas akibat kemarau dan dalam proses penghantaran bekalan air,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Paulina berkata, sejak dua minggu lalu penduduk yang tinggal di kawasan tinggi mahupun rendah mula berdepan masalah kekurangan air akibat cuaca panas berpanjangan.

“Ketiadaan hujan sejak tiga minggu lalu turut menjejaskan aktiviti harian mereka,” katanya.

Sementara itu, penduduk Kampung Ulu Bakut dikenali Brahim, 36, berkata sebelum ini penduduk di kawasan bukit di kampungnya terpaksa berulang-alik ke Pekan Tuaran atau Pekan Tamparuli untuk mendapatkan bekalan air.

“Namun kini penduduk lega apabila bantuan bekalan air dihantar ke kampung menggunakan lori tangki, penduduk tidak perlu bersusah-payah berulang-alik mendapatkan air untuk keperluan memasak,” katanya. – Berita Harian

556