Pemancing hilang ditemui lemas

MAYAT lelaki yang hilang selepas terjatuh ke dalam sungai ketika memancing di tebing Sungai Padas, Beaufort, ditemui lemas, pagi tadi. – Foto IHSAN APM.

BEAUFORT: Seorang lelaki yang hilang selepas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika memancing di tebing Sungai Padas dekat sini, ditemui lemas, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam tadi, mangsa, Romy Appellera, 40, dari Kampung Jempangan, di sini, dikatakan memancing bersama beberapa rakan sejak lewat petang sebelum dipercayai terjatuh ke dalam sungai berkenaan.

MAYAT lelaki yang hilang selepas terjatuh ke dalam sungai ketika memancing di tebing Sungai Padas, Beaufort, ditemui lemas, pagi tadi. – Foto IHSAN APM.

Berikutan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan oleh anggota bomba dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), selain turut disertai anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort, Hasbullah Nenggok, berkata mayat mangsa ditemui tidak jauh dari lokasi dia dilaporkan hilang.

“Mayat mangsa ditemui pada jam 11.38 pagi oleh anggota penyelamat ketika menjalankan operasi pencarian di sekitar kawasan dia dilaporkan hilang sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya di sini sebentar tadi.

Terdahulu, bomba menerima panggilan pada jam 9.08 malam tadi berhubung kejadian itu sebelum menghantar sepasukan anggota bersama sebuah jentera ke lokasi kejadian, selain dibantu anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Penyu.

Bagaimanapun, operasi terpaksa ditangguhkan pada jam 11.59 malam berikutan keadaan gelap sebelum bersambung semula pada jam 8 pagi tadi. – Berita Harian

666