Merokok di premis makanan, Jabatan Kesihatan Sabah Keluarkan 406 amaran

JABATAN Kesihatan Sabah mengeluarkan 406 notis amaran berhubung larangan merokok di kedai makan menerusi pemeriksaan 2,261 premis di seluruh negeri sehingga akhir bulan lalu.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Stephen Wong berkata, sepanjang dua bulan lalu, sebanyak 2,710 aktiviti penguatkuasaan pendidikan turut dilaksanakan di seluruh negeri.

Katanya, kerajaan negeri, Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sentiasa komited memastikan aktiviti penguatkuasaan pendidikan diteruskan selari dengan keputusan Kabinet negeri melaksanakan program itu bermula 1 Februari hingga 30 Jun depan.

“Sepanjang tempoh itu, pasukan penguatkuasaan dari Jabatan Kesihatan dengan dibantu PBT memantau premis yang ditampal dengan tanda larangan merokok berdasarkan spesifikasi, selain memberi nasihat dan penerangan kepada pemilik serta orang awam berhubung larangan itu.

“Ia memberi peluang kepada orang ramai untuk memahami dan menjadikan tabiat tidak merokok di kedai makan sebagai budaya sebelum penguatkuasaan penuh dilaksanakan berkuat kuasa 1 Julai depan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mulai 1 Julai, Wong berkata, denda sehingga RM10,000 atau penjara maksimum dua tahun boleh dikenakan terhadap sesiapa yang didapati merokok di premis makanan.

Sementara itu, katanya, secara keseluruhan orang ramai menyambut baik pelaksanaan peraturan itu, namun masih ada segelintir individu tidak bersetuju.

Orang ramai boleh menyalurkan aduan berkaitan pematuhan larangan merokok melalui Infoline Kementerian Kesihatan di talian 03-88924530 atau aplikasi Whatsapp 010-8608949. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *