Pemancing lelaki dilapor hilang, ditemui lemas

LAHAD DATU, 5 Mac – Mayat seorang lelaki, yang dilaporkan hilang dan dikhuatiri lemas pada Sabtu lepas, ditemui terapung oleh nelayan di laut kira-kira tiga batu nautika dari pantai Kampung Bangigod dekat sini, pagi ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) bagi Zon Maritim Lahad Datu,  Komander Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata mayat, Herman Gasim, 31, itu ditemui pukul 9,15 pagi dan dibawa bot Angkatan Pertahanan Awam (APM) menuju ke Field Operation Base di sini.

“Mayat mangsa sudah dikenalpasti oleh keluarga dan diserahkan kepada polis untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Ahad lepas, APMM mengaktifkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) Herman selepas hilang akibat bot pam dinaiki bersama abang iparnya untuk memancing dipukul ombak pada 12.50 tengah hari Sabtu di perairan Telibas Besar Tungku.

Namun, ipar mangsa, Mazlan Mohamad, 40-an dapat menyelamatkan diri dengan berenang ke daratan berhampiran dan membuat laporan mengenai kejadian.

Operasi SAR selama tiga hari itu melibatkan lebih 30 anggota pelbagai agensi penguatkuasa serta membabitkan empat aset laut daripada APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta APM.

— BERNAMA

88