Shafie jumpa Tun M esok, bincang MA63

KETUA Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal akan berjumpa dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, esok bagi membincangkan perkara berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Mohd Shafie yang juga Menteri Kewangan negeri berkata, pertemuan yang dijadualkan berlangsung di Putrajaya itu adalah kali kedua dengan Perdana Menteri bagi membincangkan perkara berkenaan.

“Ini adalah mesyuarat kedua dan beberapa jawatankuasa (perundingan) yang telah diwujudkan akan meneliti secara mendalam dari segi bagaimana hendak melaksanakannya (apa yang dijanjikan kepada Sabah berdasarkan MA63)… ada usaha positif ke arah itu.

“Walaupun ia mungkin mengambil sedikit masa… tetapi setakat ini Alhamdulillah,” katanya kepada media selepas merasmikan Kursus Eksekutif Khas kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.

Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN) bagaimanapun enggan mengulas lanjut berhubung pertemuan itu kerana ia masih di peringkat perundingan.

Perdana Menteri ketika berucap pada sambutan Hari Malaysia di Kota Kinabalu, 16 September tahun lalu berkata, Kerajaan menerusi slogan ‘Malaysia Baharu’ akan mengembalikan status rakan sekutu kepada Sabah dan Sarawak, berbanding negeri dalam Malaysia.

Dr Mahathir dilaporkan berkata, beliau mengambil maklum penukaran status Sabah dan Sarawak, daripada rakan sekutu kepada negeri dalam Malaysia sebelum ini dan pengembalian status itu sebahagian proses akan dilaksanakan selepas kajian MA63 disiapkan.

Beliau dilaporkan berkata, pengembalian status Sabah dan Sarawak seperti terkandung dalam MA63 memberi negara asas kukuh untuk mengeratkan hubungan ketiga-tiga wilayah.

Dalam perkembangan lain, Mohd Shafie meminta semua wakil rakyat kerajaan di negeri ini mengambil pengajaran terhadap keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih di Selangor yang memihak kepada Barisan Nasional (BN).

Beliau berkata, apa yang berlaku di Semenanjung, juga akan memberi kesan kepada Sabah dan Sarawak.

“Oleh itu, kita (wakil rakyat) perlu mengambil iktibar dengan apa yang berlaku dan rakyat telah memutuskan apa yang mereka kehendaki. Kita kena terima keputusan itu.

“Kita akan melihat bagaimana selaraskan agar ia tidak berterusan (kemenangan kepada pembangkang), untuk memastikan kedudukan kita sebagai kerajaan (kekal) sekali gusdapat memenuhi apa yang mereka (rakyat) harapkan,” katanya.

Terdahulu, Mohd Shafie meminta semua wakil rakyat sentiasa turun padang untuk mendekati rakyat dengan lebih kerap, sekali gus mendengar apa yang dikehendaki rakyat. – Harian Metro

496