Kirim 2kg dadah guna bas awam

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Zaini Jass (kanan) menunjukkan dadah jenis syabu yang dirampas dari seorang lelaki warga asing dalam satu operasi di Sandakan ketika mengadakan sidang media hari ini. – Foto Bernama

SEORANG lelaki warga asing ditahan bersama dadah syabu seberat 2.1 kilogram (kg) selepas menerima dadah itu yang dikirim melalui penghantaran perkhidmatan awam, Jumaat lalu.

Lelaki berusia 30-an terbabit ditahan bersama syabu yang disimpan di dalam kotak itu di kawasan lapang berhampiran sebuah gudang di Batu 3, Sandakan, 3.45 petang.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, lelaki itu ditahan hasil maklumat risikan sepasukan pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan.

“Ketika ditahan, suspek didapati membawa kotak berisi ketulan hablur dipercayai dadah syabu yang dibungkus menggunakan surat khabar.

“Dadah bernilai RM105,000 mengikut harga pasaran itu dikirim dari Kota Kinabalu dengan menggunakan bas awam ke Sandakan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah, Kota Kinabalu, hari ini.

Zaini berkata, siasatan dan risikan lanjut masih dijalankan bagi mengesan dalang pembekal dadah itu di Kota Kinabalu.

Katanya, suspek yang tiada dokumen pengenalan diri itu kini ditahan reman tujuh hari bermula Sabtu lalu hingga Jumaat ini.

“Suspek juga didapati positif dadah. Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat sekiranya disabit kesalahan,” katanya. – Harian Metro

121