Operasi Penyalahgunaan Dadah: 62 Ditahan Di Manggatal

Antara dadah yang dirampas. – Foto Ihsan Polis Kota Kinabalu

ENAM puluh dua individu ditahan polis termasuk 18 daripadanya didapati memiliki dadah dalam beberapa siri operasi di sekitar Manggatal dekat Kota Kinabalu, sepanjang minggu ini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, operasi bermula 23 Februari itu menumpukan beberapa lokasi di sekitar Manggatal dipercayai sarang kegiatan penyalahgunaan dadah.

“Operasi kali ini menuntut ketahanan fizikal dan mental pihak polis kerana struktur muka bumi yang berbukit dan berpaya. Antara lokasi digempur termasuk Kampung Lokub, Kampung Lok Buno dan Kampung Lobou.

“Sepanjang operasi ini dilaksanakan sehingga kelmarin, seramai 62 individu berusia antara 16 hingga 57 tahun ditahan termasuk 18 daripadanya didapati memiliki dadah, manakala 44 lagi positif dadah,” katanya di sini hari ini.

Habibi berkata, pihaknya juga turut berjaya merampas dadah jenis syabu dalam operasi itu.

“Jumlah keseluruhan rampasan adalah sebanyak 28.40 gram syabu yang dianggarkan bernilai RM4,250 mengikut harga pasaran semasa.

“Semua individu ditahan mengikut Seksyen 39A(1) dan Seksyen 15 (1) (A) Akta Dadah Berbahaya 1952 mengikut kesalahan masing-masing,” katanya.

Terdahulu, Habibi berkata, operasi itu adalah bertujuan untuk membanteras kegiatan jenayah dadah di sekitar Kota Kinabalu.

“Operasi ini sentiasa diperhebat dari semasa ke semasa untuk membanteras kegiatan penyalahgunaan dadah demi kesejahteraan dan ketenteraman awam di daerah ini,” katanya. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *