Bot Karam : Satu lagi mayat ditemui

SATU lagi mayat yang hilang dalam insiden bot terbalik di perairan berhampiran Pulau Nunuyan Laut dekat Sandakan ditemui kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Mayat wanita berusia 42 tahun itu ditemui terapung di perairan antara Pulau Nunuyan Laut dan Pulau Berhala.

Penemuan itu menjadikan tinggal empat yang masih hilang dalam kejadian bot terbalik di kira-kira lima batu nautika dari Pulau Nunuyan Laut, petang Khamis lalu.

Timbalan Pengarah Operasi Zon Maritim Sandakan, Komander Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid berkata, operasi mencari dan menyelamat bagaimanapun tertumpu pada tiga lagi mangsa yang hilang iaitu Ibrahim Januari, 27, anaknya, Nuraina Ibrahim yang berusia setahun dan seorang lagi kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang belum dikenal pasti identiti.

Katanya, ia susulan laporan seorang lagi mangsa iaitu tekong berusia 38 tahun yang dikenali sebagai Sido, disyaki melarikan diri sebaik bot pancung mereka terbalik.

“Berdasarkan maklumat diperolehi daripada lima mangsa yang selamat, tekong terbabit berpaut pada tong minyak, sebelum berenang ke tempat lain dan menyatakan akan datang semula ke lokasi itu selepas mendapat bantuan.

“Justeru, operasi mencari dan menyelamat kini tertumpu kepada tiga lagi mangsa yang hilang selepas satu daripadanya ditemui sebentar tadi,” katanya ketika dihubungi.

Harian Metro semalam melaporkan mayat seorang kanak-kanak ditemui, lima masih hilang, manakala lima lagi selamat selepas bot pancung membawa 11 penumpang terbalik akibat dilambung ombak di perairan kira-kira lima batu nautika dari Pulau Nunuyan Laut.

Mayat kanak-kanak yang hilang berusia tujuh tahun ditemui terapung kira-kira 100 meter dari lokasi bot terbalik.

Semua mangsa dipercayai warga Filipina dilaporkan dalam pelayaran dari Pulau Taganak, Filipina menuju ke daerah ini sebelum bot mereka terbalik menyebabkan semua mangsa tercampak kira-kira jam 6 petang, Khamis lalu.

Lima yang selamat ditemui bot tempur CB 90H dari pangkalan TLDM Sandakan, tengah hari semalam selepas berpaut pada bot lebih 18 jam.

Khairulanuar berkata, operasi hari ini menumpukan kawasan pencarian seluas 187 batu nautika yang dipecahkan kepada enam sektor yang membabitkan 111 anggota dengan sembilan aset daripada Maritim Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Pasukan Polis Marin (PPM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *