Cukai jalan kenderaan perdagangan Sabah dan Sarawak diseragam

PUTRAJAYA – Kerajaan menyeragamkan fi atau cukai jalan Lesen Kenderaan Motor (LKM) bagi kenderaan perdagangan barangan yang didaftarkan di Sabah dan Sarawak dengan menggunakan kriteria Berat Tanpa Muatan (BTM) mulai 1 April depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebelum ini, fi di kedua-dua negeri itu berbeza dengan Sabah menggunakan asas Berat Dengan Muatan (BDM) manakala BTM bagi Sarawak.

Jelasnya, kaedah tersebut menjadikan fi LKM kenderaan perdagangan di Sabah lebih mahal berbanding Sarawak ekoran kriteria itu tidak pernah disemak atau diseragamkan sejak proses penyatuan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Semenanjung dengan JPJ Sabah dan Sarawak pada 1984.

“Sebelum ini, fi LKM setahun bagi lori jenis penggerak utama kontena dengan berat sama dengan menggunakan kriteria BDM di Sabah berjumlah RM2,478 manakala Sarawak pula RM 718 untuk kaedah BTM.

“Selain itu, bagi lori jenis barangan penggerak utama seberat 44 tan, fi setahun untuk kriteria BDM di Sarawak sebanyak RM3,138. Selepas penyeragaman ini dilaksanakan, mereka akan membayar fi berjumlah RM718 dengan kriteria BTM seberat 12 tan seperti di Sabah,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Siew Fook, jemaah menteri telah membuat keputusan bahawa penyeragaman kriteria pengiraan bagi fi LKM perlu dilaksanakan bagi mewujudkan satu persekitaran perniagaan yang adil dan kompetitif.

Jelasnya, penyeragaman itu melibatkan pengurangan kutipan hasil kepada kerajaan kira-kira RM9 juta hingga RM15 juta setahun namun, ia tidak akan membawa kesan kepada prestasi kutipan JPJ.

“Berdasarkan data pada 2009 hingga 2014, dianggarkan kerugian sebanyak RM64 juta ekoran daripada ketirisan hasil daripada aktiviti pendaftaran kenderaan perdagangan di Sarawak.

“Hasil kutipan fi LKM kenderaan perdagangan di kedua-dua negeri ini menyumbang sebanyak 2.6 peratus daripada keseluruhan hasil di seluruh negara pada tahun lalu,” katanya.

Tambahnya, berdasarkan rekod tahun laku, jumlah kenderaan perdagangan yang  berdaftar di Sabah dan Sarawak sebanyak 231,671 buah berbanding 1.5 juta di semenanjung.

Penyeragaman kriteria cukai jalan LKM melibatkan 14 kategori atau kod kegunaan kenderaan barangan di Sabah iaitu penggerak utama,rigid, treler, decontrolled, mayat, tunda, perkhidmatan, penggerak utama (PGU) kontena, PGU treler, PGU jentera bergerak,semi treler, semi treler kontena,semi treler bertingkat dan lori sekolah memandu. – K! ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *