Sabah ikut langkah kerajaan persekutuan wajibkan suntikan vaksin

KOTA KINABALU, 28 Feb – Kerajaan negeri Sabah akan mengikut langkah kerajaan Persekutuan berhubung cadangan dan dasar mewajibkan suntikan vaksin imunisasi kepada golongan kanak-kanak termasuk bayi ke arah meningkatkan lagi tahap kesihatan rakyat di negeri itu.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Datuk Stephen Wong Tien Fatt berkata suntikan vaksin imunisasi penting sebagai langkah awal mencegah penyakit berjangkit daripada merebak, dan kementeriannya berharap dapat melaksanakan program berkenaan demi manfaat penduduk.

Menurutnya, kementeriannya kini masih mengadakan rundingan dengan kerajaan Persekutuan berhubung perkara berkenaan termasuk melihat perincian pelaksanaan program pemberian suntikan vaksin imunisasi itu di peringkat Persekutuan serta kemampuan kewangan kerajaan untuk melaksanakannya.

Wong berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas komitmen Kementerian Kesihatan Persekutuan untuk membentangkan cadangan dan dasar supaya suntikan vaksin imunisasi diwajibkan.

Beliau sebelum itu melancarkan pusat kesihatan sebuah hospital swasta di sini, hari ini.

Pada Isnin, Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kementeriannya mendapat ‘desakan’ kuat pelbagai pihak supaya kerajaan mempertimbang mewajibkan imunisasi vaksin berikutan keengganan ibu bapa mengambil suntikan sehingga menyebabkan berlaku kes kematian.

Dalam perkembangan berkaitan, Wong berkata, pekerja asing di Sabah perlu menjalani pemeriksaan awal kesihatan termasuk mendapatkan suntikan vaksin bagi mencegah penularan penyakit Tuberculosis (TB) dalam kalangan di penduduk negeri itu.

“Tidak dinafikan warga asing memang antara pembawa penyakit TB ke dalam negeri ini. Sudah tentu ia memberi kesan negatif kepada tahap kesihatan penduduk.

“Kerajaan negeri akan melihat apakah langkah terbaik untuk mengelak penyakit itu daripada merebak termasuk keperluan memberi suntikan vaksin,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *